Oleh itu, persembahan calon Ketua Pemuda yang bakal bertemu bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Mohd Khir Toyo dan Datuk Mukhriz Mahathir adalah hanya tiga calon yang akan mencorak ke mana hala tuju Pemuda yang akan membentuk satu jiwa generasi akan datang untuk berdepan dengan cabaran-cabaran yang bakal mendatang.
Kemunculan Khairy Jamaluddin di kaca televisyen Astro Atma malam tadi merupakan satu pendekatan yang mendedahkan inspirasi anak muda berpendidikan tinggi yang telah berjaya meletakkan dirinya di pentas politik negara bagi membuka mata seluruh rakyat Malaysia yang tidak semestinya dari kalangan ahli UMNO, tetapi untuk ibu bapa kepada generasi hari ini dan akan datang membuat tafisran dan renungan dari apa yang dibentangkan secara spontan oleh Khairy tentang visinya.
Sepertimana katanya untuk mendedahkan orang ramai dari semua lapisan kepada satu suasana pendekatan seperti menggunakan konsep forum, debat, diskusi, misalnya, adalah satu petikan yang harus dilihat secara positif kerana dengan cara itu, semua orang boleh mengambil bahagian untuk mengemukakan masalah, memberi pendapat dan memberi peluang penyertaan ramai meluahkan apa yang dikehendaki sambil mencari jalan menyelesaikannya dengan lebih konstruktif.
Justeru itu, akan dengan sendirinya akan mendekatkan orang ramai dengan pemimpin tidak kira dari peringkat mana supaya menyedari bahawa pemimpin perlu turun padang untuk menemui rakyat dengan banyak cara untuk mendapat maklum balas yang paling berkesan untuk diambil tindakan.
Sebelum ini, Khairy sudah sedia yakin bahawa pemuda termasuk remaja yang sedang membesar hari ini perlu didekati dengan cara itu. Pemuda hari ini lebih bebas, lebih radikal dari segi minda, pendidikan dan persekitaran yang amat berbeza dengan generasi sebelum in. Generasi hari ini lebih melihat realiti itu satu perkara yang memberikan mereka inspirasi untuk mengubah diri, mengubah cara hidup dan seterusnya mengubah dimensi apa jua yang mereka perjuangkan.
Sebagai orang muda seperti Khairy sendiri, nampaknya lebih melihat ketika ini adalah waktu paling sesuai di mana orang muda seperti beliau sudah sepatutnya berfikiran dan berperwatakan dewasa seperti beliau sendiri meletakkan dirinya di mana beliau berada sekarang supaya pemuda perlu didewasakan sambil tidak melupakan ciri-ciri budaya Melayu yang kian pupus juga perkukuhkan lagi.
Yang nyata daripada persembahan Khairy sendiri semalam telah dilihat dan diakui ramai bahawa beliau tidak dilihat seperti 'budak-budak'. Cara beliau berfikir, menjawab dengan penuh pengetahuan yang tertumpu kepada permasalahan bukan sahaja di peringkat domestik semata-mata. Beliau mendedahkan juga prospektif global yang turut sama memainkan peranan terhadap perkongsian pengaruh yang cukup hebat berperanan besar dalam pembentukan jiwa dan minda generasi akan datang.
Kebetulan sebelum itu, dalam Astro Awani, Khairy bersama Ahli Parlimen Balik Pulau (PKR), Yusmadi Yusoff telah menyertai penal wawancara bertajuk 'Permintaan Untuk Presiden Baru Amerika Syarikat' yang cukup menarik kerana negara kuasa besar itu juga beragenda yang barang pasti membawa satu kesan kepada beberapa krisis besar dalam percaturan dunia pada ketika ini.
Jelas di sini, Khairy merupakan pemimpin muda tidak hanya memerhatikan perkembangan dan kelemahan dalaman kita sahaja, tetapi juga meneropong sama apa yang patut kita bersedia dengan pergolakan politik berprospektifkan gelombang global tanpa mengenepikan pergolakan politik negara-negara jiran yang turut memainkan sentimen yang tidak kurang menjejaskan kita dari apa yang berlaku di negara mereka.
Menyelami setiap luahan visi Khairy dalam waktu yang singkat itu, sebenarnya bagaikan sekilas apa yang ada dalam fikiran dan hatinya, Khairy mahu membawa pemuda hari ini memperincikan perjuangan mereka sesaraf dengan pemikiran lebih dewasa dan matang untuk melangkah ke hadapan dengan lebih konfiden.
Fikiran dan jiwa pemuda perlu dibebaskan secara kolektif. Mereka tidak boleh dikongkong dan dibiarkan tanpa panduan, pendedahan dan kawalan yang betul untuk bersedia berdepan dengan perubahan-perubahan yang berlaku secara mendadak di seluruh dunia sambil berkhidmat dengan jujur dan ikhlas sebagai mengiringi tanggungjawab masing-masing.
Kerana itu Khairy menyebut bahawa golongan cerdik pandai yang berada di semua sektor hari ini akan lebih tertarik dengan UMNO terhadap usul yang dibawa dan dibincang seperti bidang kehakiman, Badan Pencegah Rasuah, ekonomi dan sebagainya memerlukan pembaharuan. Kerana para professional dan cerdik pandai kita tentunya sedia untuk turut serta untuk sama-sama mengangkat martabat Melayu dengan cara yang lebih sistematik.
Satu perkara yang amat terpuji dalam persembahan Khairy kali ini, beliau mengakui calon Ketua Pemuda lain terutama Datuk Seri Mohd Khir Toyo yang lebih berpengalaman dari beliau yang menyebabkan pencalonan untuk jawatan Ketua Pemuda memperlihatkan pembahagian yang berbeza. Akuan Khairy ini satu sentuhan terpuji sebagai yang termuda daripada ketiga-tiga calon.
Bagaimanapun untuk mengukur ketentuannya, akhirnya perwakilan yang diberi tanggungjawab memilih siapa ketua mereka bukan isu pada ketika ini. Isunya memperbetulkan tanggapan dan persepsi ramai terhadap perjuangan Pemuda UMNO terhadap kesinambungan kepimpinan demi menjamin kedudukan orang Melayu yang sentiasa dikaitkan dengan watak yang kadang-kadang tidak relevan diheret bersama dalam perjuangan hala tuju yang sepatutnya.
Namun begitu, pihak penerbit TV semua saluran juga turut perlu memainkan peranan memberi peluang seberapa banyak ruang untuk mendepankan bakal pemimpin supaya masyarakat seluruhnya dari semua peringkat dan kaum di negara ini dapat sama-sama membuat penilaian kewibawaan seseorang pemimpin itu apakah mereka bercakap, berfikir dan bertindak menurut hendak inspirasi rakyat secara keseluruhannya.
No comments:
Post a Comment