Monday, March 30, 2009

Kembali rapatkan barisan Pemuda – Khairy


Ketua Pergerakan Pemuda UMNO yang baru, Khairy Jamaluddin mahu seluruh ahli pergerakan itu terutama para penyokong dua pesaingnya merapatkan kembali barisan untuk mengukuhkan sayap kanan tersebut.


Beliau menyifatkan pemilihan jawatan Ketua Pemuda UMNO hari ini berlangsung dalam suasana demokrasi yang cukup matang.


‘‘Yang menang tidak menang semua, yang kalah tidak kalah semua. Saya dapat 304 undi daripada 793 perwakilan yang ini bukan satu majoriti. Ini hanya majoriti calon tiga penjuru.


‘‘Walaupun (saya) bertanding atas (slogan) Setiakawan, ada Berani Berubah (slogan dibawa oleh Datuk Mukhriz Mahathir) dan Pemuda Berani (oleh Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo), kita sebenarnya berani menuntut perubahan demi setiakawan Pemuda UMNO,’’ katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kemenangannya dalam ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO di sini malam ini.


Difahamkan dalam pertandingan itu, Mohamad Khir memperoleh 254 undi manakala Mukhriz meraih 232 undi.


Dalam ucapannya pada majlis yang turut dihadiri Mukhriz tanpa kelibat Mohamad Khir itu, Khairy mengungkapkan:


‘‘Dalam kepimpinan Pemuda baru ini, ada Berani Berubah, jadi saya rayu supaya Berani Berubah berdiri bersama saya untuk berdepan dengan kubu-kubu pembangkang pada tiga pilihan raya kecil nanti (Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai).


‘‘Kepada Pemuda Berani, apabila pikul amanah seperti mana kata Timbalan Presiden (Datuk Seri Najib Tun Razak) semalam kalau tidak berubah, kita rebah, maka tuan-tuan kena bersama-sama saya.’’

Kepada Pemuda Setiakawan (para penyokongnya), Khairy secara sentimental mengungkapkan:
‘‘Satu ketika dulu ada yang tulis kata saya tidak ada masa depan tanpa Yang Amat Berhormat Perdana Menteri (bapa mertuanya)...habis, pencalonan (yang diterima saya) nyawa-nyawa ikan.

‘‘Bila turun ke bawah, arus menentang (kata mereka) tapi saya kembali kepada asas perjuangan, kalau tidak kerana Setiakawan (para penyokongnya), lama dah kita tinggalkan (UMNO).’’

No comments: