Tuesday, May 19, 2009

Tiada calon di Penanti

UTUSAN


KUALA LUMPUR 18 Mei – Barisan Nasional (BN) memutuskan tidak akan meletakkan calonnya pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti 31 Mei ini kerana ‘ia hanyalah satu permainan politik pembangkang’.

Keputusan itu dicapai sebulat suara pada Mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang berlangsung kira-kira dua jam di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Ia dipengerusikan oleh Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak dan dihadiri timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta sebahagian besar ketua parti-parti komponen BN.

Najib pada sidang akhbar selepas mesyuarat itu menegaskan, keputusan tersebut diambil kerana pilihan raya berkenaan hanyalah satu permainan politik pembangkang dan bukan disebabkan keperluan mengikut kehendak Perlembagaan Persekutuan.

“Kekosongan ini disebabkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) nak selesaikan masalah dalaman mereka. Ia satu permainan politik pembangkang dan tidak ada kena mengena dengan peruntukan Perlembagaan.

“Oleh kerana BN lebih utamakan khidmat kepada rakyat dan usaha-usaha memulihkan ekonomi negara, maka kita memutuskan tidak meletakkan calon pada pilihan raya kecil DUN Penanti,’’ katanya.

Pilihan raya kecil DUN Penanti diadakan berikutan penyandangnya, Mohammad Fairus Khairuddin dari PKR meletakkan jawatan sebagai ADUN pada 16 April lalu atas alasan mahu menyambung pelajaran.

Namun pada masa sama ramai pemerhati politik melihat tindakan itu diambil kerana wujudnya pelbagai bentuk desakan dalaman daripada PKR termasuk laporan salah laku ke atas Fairus.

PKR telah mengumumkan Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, Dr. Mansor Othman, 56, sebagai calon parti itu. Bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang, Aminah Abdullah, 56, turut menyatakan hasrat untuk bertanding atas tiket Bebas.

Selain Penanti, kerusi Parlimen Permatang Pauh dan DUN Bukit Selambau, Kedah sebelum ini turut ‘dikosongkan’ secara sengaja.

Di Permatang Pauh, penyandangnya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mengosongkan kerusi itu bagi memberi laluan kepada suaminya yang juga Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggantikan beliau.

Di Bukit Selambau pula, penyandangnya, V. Arumugam dari PKR meletakkan jawatan berikutan masalah peribadi yang dihadapinya.

Dalam pada itu, Najib berkata, keputusan BN untuk tidak meletakkan calon menunjukkan mesej jelas bahawa parti tersebut tidak akan menari mengikut rentak pihak lain.

Mengenai soal persepsi di sebalik keputusan itu, Najib berkata: “Itu terpulanglah tetapi hakikat sebenarnya kita tak mahu terjerumus dalam permainan politik parti pembangkang.

“Sebab kalau kita ini (terjerumus permainan politik pembangkang), lepas dua tiga bulan dia akan minta kawasan lain pula dikosongkan.’’

Najib pada masa sama percaya penyokong UMNO dan BN khususnya di Penanti akan dapat memahami keputusan itu kerana kepentingan parti secara keseluruhannya adalah lebih besar.

Lagi pun, kata beliau, UMNO dan BN akan tetap terus berkhidmat kepada para pengundi di kawasan DUN Penanti dan Parlimen Permatang Pauh.

“Saya percaya mereka tidak (akan kecewa) kerana ini bukan satu pilihan raya kecil yang perlu dilakukan mengikut Perlembagaan,’’ jelasnya.

Ditanya sama ada keputusan untuk tidak meletakkan calon kerana didorong rasa takut akan kekalahan seperti dialami BN pada pilihan raya kecil sebelum ini, Najib berkata, ia bukan sebabnya.

“Tak ada. Bukan sebabnya. Tak timbul kerana macam mana pun kita akan hadapi rakyat masa pilihan raya umum nanti. Sampai masanya kita akan berdepan dengan rakyat seperti biasa.’’ katanya.

Menurut Najib, tindakan untuk tidak meletakkan calon juga bukan pertama kali dilakukan BN sebaliknya pernah sekali dilakukan lama dahulu.

Pada tahun 1975, BN tidak bertanding dalam pilihan raya kecil Menglembu selepas Ahli Parlimennya, Fan Yew Teng dari DAP disabit dengan kesalahan berkaitan Akta Hasutan.

Mengenai tindakan susulan UMNO dan BN selepas ini sama ada mahu menyeru penyokongnya di DUN Penanti memulaukan pilihan raya kecil 31 Mei ini, Perdana Menteri berkata: “Tak ada apa-apa lah. Kita tak letak calon.’’

No comments: