Tuesday, June 9, 2009

Abang berkorban demi ibu, adik

UTUSAN:


PULAU PINANG 6 Jun - Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Begitulah yang terjadi kepada Zahin Mat, 32, apabila ibunya menghidap barah usus dan adik bongsunya pula berhadapan dengan penyakit leukimia.

Demi kasih terhadap ibunya, Aminah Arshad, 62, yang terlantar sakit, Zahin sanggup berhenti kerja sejak lapan tahun lalu untuk menjaga ibu dan adiknya, Mohamad Solihin, 13, yang dikesan menghidap leukimia pada 19 Mei lalu.

Hati Zahin seperti diruntun dan dimamah apabila terpaksa membiarkan bapanya yang sudah uzur, Mat Sahid, 70, mencari sesuap nasi untuk menampung kehidupan mereka sekeluarga dengan bekerja sebagai tukang sapu di Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP).

Zahin, anak ketiga daripada sembilan orang adik beradik berkata , bukannya adik beradik lain tidak membantu tetapi masing-masing telah berkeluarga dan sekadar cukup makan dan pakai.

Menurutnya, disebabkan tiada wang, ibunya menderita menahan sakit kerana tidak mampu membiayai kos rawatan susulan.

"Bagaimana harus saya luahkan keperitan hidup kami sekeluarga ? Saya sedih melihat penderitaan ibu dan kini, adik saya pula yang memerlukan banyak wang untuk rawatan.

"Dalam keadaan tidak bekerja, mana mungkin saya mampu membiayai kos rawatan untuk ibu dan adik. Bukan saya tidak mahu bekerja tetapi siapa yang akan menjaga mereka," ujarnya ketika ditemui di Kampung Naran, Batu Maung di sini hari ini.

Terdahulu Zahin dan keluarga menerima kunjungan Pengerusi Sekretariat Hal Ehwal Bandar (SHEB) Pergerakan Pemuda UMNO, Tengku Azman Tengku Zainol Abidin dan Ketua Pemuda UMNO negeri, Norman Zahlan yang memberi sumbangan sebanyak RM1,000.

Menurut Zahin, dia terpaksa menebalkan muka memohon bantuan untuk membiayai kos rawatan ibu dan adiknya yang sebelum ini merupakan seorang pelajar yang aktif dalam bidang olahraga di sekolah.

Katanya, selain mendapatkan bantuan daripada Pemuda UMNO negeri, dia juga telah memohon bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Sementara itu, Mohamad Solihin yang merupakan pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Tun Uda, Bayan Baru di sini berkata, harapannya hanya satu untuk sembuh dan dapat hidup seperti insan lain.

Dalam pada itu, Norman berjanji akan cuba membantu Zahin dengan membuat semakan semula terhadap permohonan bantuan yang dikemukakan sebelum ini selain mempercepatkan permohonan untuk mendapatkan bantuan daripada JKM.

Mereka yang berhasrat untuk menghulurkan bantuan boleh menghubungi Zahin di alamat AA-54, Sungai Nibong Tengah, Bayan Baru atau di talian 016-4783549.

No comments: