SECARA peribadi, sebagai seorang lepasan sekolah agama walaupun tidak setanding dari segi ilmu amal, kealiman dan ketakwaan dengan pemimpin, ahli dan penyokong fanatik Pas, saya terkejut apabila seorang tokoh yang diberi gelaran 'tok guru' seperti Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sanggup memastikan nasihatnya didengar.
Pada pendapat saya 'mesti didengar' bermakna sesuatu yang mutlak, tidak boleh menolak atau membahaskannya, apakah lagi mempertikaikannya dari sudut apa sekali pun.
Apakah dalam Islam membolehkan seseorang hamba-Nya memutlakkan nasihat atau kata-katanya?
Rasulullah SAW sendiri pernah ditegur, malah menerima teguran para sahabat membuktikan bahawa baginda tidak memutlakkan apa yang dinyatakan, pandangan atau perlakuan peribadinya, kecuali segala titah perintah Allah.
Sayidina Umar Ibnu Khattab meminta ditegur walaupun khalifah itu bengkeng. Umar tidak marah pun dengan ancaman seorang lelaki tempang yang meletakkan mata pedang pada lehernya dan bersumpah bahawa pedang itulah akan memenggal leher Khalifah ar-Rasyidin kedua itu jika tidak melaksanakan pemerintahan berlandaskan hukum Allah.
Umar Abdul Aziz yang terkenal dengan zuhudnya dan adil sebagai khalifah sehingga dalam tempoh pemerintahannya, serigala pun tidak memakan kambing sebagai tanda kemakmuran dan berkat pemerintahannya. Beliau boleh ditegur dan menerima teguran anaknya sendiri biarpun tindakannya dianggap kurang tepat oleh anak baginda.
Timbul persoalan dalam kepala saya, apakah Nik Abdul Aziz sebagai Mursyidul Am Pas mahu pun atas sifatnya sebagai Menteri Besar Kelantan lebih hebat daripada Rasulullah SAW, Sayidina Umar Al-Khattab, Umar Abdul Aziz dan sebagainya sehingga nasihatnya dimutlakkan.
Bukankah dengan memutlakkan nasihatnya itu bersifat takbur, angkuh, sombong, bongkak dan riak, sekali gus menidakkan tahap keilmuan orang lain, termasuk Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Betulkah beliau lebih berilmu dari segala ilmuwan sehingga nasihat dan pendiriannya tidak boleh dicanggah?
Kalau Abdul Hadi tidak cukup ilmu untuk menjadi presiden kepada parti yang begitu gah dengan gebeng perjuangan Islam, kenapa beliau boleh diberi kemenangan percuma apabila Nik Aziz sendiri hanya menerima satu pencalonan sahaja bagi merebut jawatan presiden.
Saya yakin ramai pemimpin, ahli dan penyokong Pas akan menganggap saya boneka UMNO, malah ada yang akan labelkan saya diupah untuk menulis tulisan yang menyanggah Nik Abdul Aziz.
Bagaimanapun tujuan saya menulis adalah untuk memenuhi tuntutan fardu kifayah serta memenuhi tuntutan surah Al-Asyr dalam memperingatkan Nik Aziz bahawa memutlakkan nasihat, pandangan atau pendiriannya adalah tidak tepat dengan hukum-hakam.
Mudah-mudahan, beliau boleh menerima hakikat bahawa ubat yang paling pahit adalah yang paling mustajab.
Memang bercanggah pendapat atau tidak bersetuju dengan pandangan atau pun pendirian orang lain dibolehkan oleh Islam tetapi memutlakkan pendapat, pandangan, pendirian dan nasihat kita bagi saya adalah tidak berapa selari dengan hukum-hakam.
Semoga alim ulama, termasuk para mufti dapat memberi pandangan masing-masing memandangkan apa yang menjadi pendirian, kata-kata dan apa yang dilakukan oleh Nik Aziz dianggap suci dan selari dengan Islam belaka oleh sebilangan besar pemimpin, ahli dan penyokong Pas.
No comments:
Post a Comment