Tuesday, July 7, 2009

Banglo mewah: Guan Eng pandai bersandiwara

UTUSAN:
PULAU PINANG 6 Julai - Perpindahan Ketua Menteri, Lim Guan Eng dari kediaman rasminya, Seri Teratai ke sebuah banglo mewah di sini membuktikan beliau seorang pemimpin yang pandai bersandiwara.
Ketua Pemuda UMNO negeri, Norman Zahalan berkata, Guan Eng sepatutnya mempamerkan teladan yang baik kepada rakyat dengan mengotakan apa yang dikata bukannya sekadar 'omong kosong'.
"Kalau berpindah ke rumah biasa, mungkin rakyat tidak kisah sangat tetapi ini rumah mewah setelah diubah suai dengan menelan belanja dipercayai ratusan ribu ringgit.
"Kita bukan apa, dulu Guan Eng kata akan tinggal di rumah keluarganya sebagai langkah berjimat, kemudian berpindah ke Seri Teratai dan kini ke banglo mewah pula. Ini semua cakap tak serupa bikin," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Guan Eng berpindah dari Seri Teratai ke sebuah banglo mewah di No. 25, Jalan Pinhorn di sini baru-baru ini atas alasan Seri Teratai mempunyai banyak semut api, anai-anai dan musang.
Beliau sebelum ini menekankan bahawa kerajaan negeri pimpinannya akan mengamalkan budaya berjimat cermat dan berbelanja secara sederhana.
Sementara itu, Norman berkata, berdasarkan logik, Guan Eng tidak perlu berpindah ke tempat lain sebaliknya terus menetap di Seri Teratai kerana masalah dihadapinya kecil.
"Berpindah kerana alasan rumah rasmi itu ada anai-anai, semut api dan musang tidak munasabah kerana ia dapat diselesaikan dengan mudah.
"Kalau betul ingin mengamalkan budaya berjimat cermat, lebih baik salurkan wang kos pengubahsuaian banglo tersebut kepada orang susah yang tiada tempat tinggal," jelasnya.
Guan Eng kini berdepan tuntutan 23 keluarga miskin di Kampung Buah Pala di sini yang mahu kampung halaman mereka diselamatkan daripada projek pembangunan.

No comments: