Tuesday, July 7, 2009

Pemuda UMNO P. Pinang bidas Guan Eng 'cuci tangan'

UTUSAN:
PULAU PINANG 6 Julai - Keputusan Ketua Menteri, Lim Guan Eng meminta bantuan Kerajaan Pusat bagi menangani masalah di Kampung Buah Pala di sini hanya bertujuan mengalihkan masalah kepada pihak yang tidak berkaitan.
Ketua Pemuda UMNO negeri, Norman Zahalan membidas tindakan Setiausaha Agung DAP itu sambil menyifatkan Guan Eng melarikan diri daripada masalah yang sepatutnya diselesaikan oleh kerajaan negeri.
"Rakyat sudah boleh lihat bagaimana kerajaan pakatan pembangkang ini menguruskan pentadbiran Pulau Pinang.
"Sememangnya mereka tidak mampu mentadbir dan tidak peka terhadap masalah rakyat," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Guan Eng memaklumkan, kerajaan negeri akan menulis surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi meminta bantuan Kerajaan Pusat untuk mengambil alih tanah di Kampung Buah Pala.
Guan Eng berkata, kerajaan negeri tidak mampu mengambil alih tanah di kampung itu daripada sebuah koperasi dan pemaju untuk membolehkan 23 keluarga terus tinggal di situ kerana kosnya terlalu tinggi.
Kata Norman, kelemahan kerajaan negeri kini terbongkar sekali gus mengecewakan rakyat yang telah memilih mereka untuk memimpin negeri.
"Masalah yang berlaku kepada penduduk itu sepatutnya diselesaikan di peringkat kerajaan negeri sendiri tanpa perlu meminta Kerajaan Pusat campur tangan.
"Kalau betul-betul mahu tolong penduduk di situ, banyak cara boleh dilakukan. Kalau tak silap saya, Guan Eng pun tidak turun padang," jelasnya.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO bahagian Seputeh Mohd. Razlan Mohammad Rafii pula berkata, kerajaan Pulau Pinang tidak boleh bersikap lepas tangan kerana ia merupakan isu dalaman mereka.
Katanya, jika Guan Eng benar-benar bertanggungjawab beliau perlu turun padang untuk mencari jalan penyelesaian kepada itu.
"Memindahkan beban ini kepada Kerajaan Pusat menunjukkan sikap kerajaan negeri yang
mahu lari daripada masalah," katanya.
"Mereka sepatutnya mencari jalan untuk mengatasinya," katanya.

No comments: