Wednesday, December 24, 2008

Malaysiakini: Pakatan pembangkang retak menanti belah - Khairy


KOTA BHARU 21 Dis. - Pakatan pembangkang yang menguasai lima negeri pada pilihan raya umum lalu, disifatkan sebagai retak menanti belah ekoran pertentangan dasar parti-parti terbabit semakin jelas dalam pentadbiran.
Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, percanggahan ideologi antara Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam isu-isu utama kini sudah begitu ketara dan semakin sukar dibendung.
Menurutnya, dalam soal pokok seperti Islam, kontrak sosial dan bumiputera yang termasuk dalam Perlembagaan pun masih ada percanggahan pemikiran dalam PKR, Pas dan DAP.
"Pakatan pembangkang masih belum diuji sepenuhnya, namun saya sifatkan pakatan itu sebagai retak menanti belah," katanya pada Wacana Transformasi Politik Malaysia di Balai Islam Lundang di sini malam tadi.
Selain Khairy, turut serta sebagai panel ialah Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa yang juga Exco kerajaan Pas Kelantan dan Pensyarah Fakulti Undang- Undang Universiti Islam Antarabangsa, Prof. Dr. Abdul Aziz Bari.
Ia dipengerusikan oleh pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Mohammad Agus Yusoff serta dihadiri lebih 3,000 orang.
Majlis itu dianjurkan oleh Urus Setia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan bagi membincangkan perubahan politik negara dan isu-isu semasa.
Khairy berkata, pakatan pembangkang perlu diberi peluang untuk melaksanakan dasar-dasar mereka di lima negeri yang diperintah dan terpulang kepada rakyat untuk menilainya.
"Kita beri peluang kepada pakatan pembangkang untuk melaksanakan dasar mereka. Walaupun dalam Parlimen kita selalu berbalah, kita boleh melihat apa yang berlaku hari ini," katanya.
Katanya, usaha reformasi di negara ini tidak perlu dibebankan kepada BN sahaja dan ia perlu dilakukan oleh pembangkang.
Sebagai contoh ujarnya, untuk memerangi rasuah di negara ini, ia memerlukan iltizam politik daripada kedua-dua pakatan pembangkang dan kerajaan BN.
"Jangan salahkan BN sahaja, pakatan pembangkang pun perlu ada iltizam politik. Dulu semasa menang pilihan raya semua Exco dan Menteri Besar negeri pakatan pembangkang janji mahu isytihar harta tapi sampai hari ini tidak tunaikan janji itu.
"Begitu juga ketika Menteri Besar atau menteri daripada BN dituduh rasuah, mereka diminta bercuti untuk membersihkan nama kerana kita hendak tunjukkan UMNO mengamalkan ketelusan," ujarnya.
Di Perak ujar beliau, tindakan kerajaan campuran negeri itu mengekalkan tugas dua Exco Perak yang dituduh rasuah, menjadi persoalan di kalangan rakyat.
Katanya, dalam menggerakkan transformasi politik Malaysia ke arah yang lebih baik demi kepentingan rakyat, beliau menekankan perlunya muzakarah di antara UMNO dan Pas diteruskan.
"Mari kita tumpu soal apa yang boleh diperjuangkan bersama seperti bahasa, agama, kontrak sosial dan bumiputera termasuk isu sensitif seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)," katanya.

3 comments:

azlishukri said...

hudud kena laksanakan juga..itu termsuk perjuangan UMNO membela agama..

PEMUDA PAS KEMAHANG 1 said...

jangan letakkan pelaksanaan hukum Hudud dan Qisas dibahu PAS sahaja. Umno patut lebih bersungguh2 untuk laksanakan hukum Allah itu kerana Umno punyai majoriti yang mencukupi di parlimen, dan punyai kuasa untuk meminda perlembagaan.

Rakyat bukan lagi bodoh, dan tak perlulah Umno terus memperbodohkan rakyat dengan mendendangkan lagu lama.

PAS sudah cuba sebaiknya untuk memberi kefahaman kepada umat Islam tentang Hudud. Kini tiba giliran Umno pula untuk merealisasikannya. Itupun kalau benar dakwaan bahawa Umno juga memperjuangkan agama sebagaimana yang PAS buat.

entahlah... takde jawapan rasanya.

ikhlas,
www.pemudakemehe1.blogspot.com

PEMUDA PAS KEMAHANG 1 said...

Pakatan Pembangkang retak menanti belah? Tidak berapa tepat rasanya ungkapan Khairy ni..

yang sebetulnya, Umno belah menanti hancur. Kenapa PPK1 cakap begitu? Ini fakta sebenarnya... dalam satu bahagian Umno, terdapat 7 8 puak. Kalau Umno tak belah dan tak hancur, takkan la mesyuarat Bahagian pun sampai tampar menampak, maki hamun dan baling-baling kerusi.

Macam parlimen Taiwan plak dah tengok gelagat orang Umno berpolitik. Mgkn sb MP2 Umno gi taiwan ari tu kut?

ikhlas,
www.pemudakemehe1.blogspot.com