Thursday, April 2, 2009

Khairy, Khir dan Mukhriz bersatu dalam barisan perjuangan


Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menyanjung tinggi sokongan dua bekas pesaingnya, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo dan Datuk Mukhriz Mahathir demi perjuangan pergerakan itu dan UMNO.

Malah, beliau menyifatkan kesediaan Mohamad Khir dan Mukhriz memberi sokongan melambangkan kematangan dan kebijaksanaan mereka kerana sanggup mengetepikan kepentingan peribadi

Katanya, sokongan itu sangat diperlukan bagi membolehkan usaha pengukuhan Pemuda dilakukan dengan segera selepas wujud pertandingan tiga penjuru dalam pemilihan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO baru-baru ini.

“Saya begitu menghargai dan mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Dato' Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo yang telah menyahut seruan penyatuan dan memberi sokongan terbuka kepada kepimpinan saya dalam Pergerakan Pemuda UMNO.
Penyatuan semua ahli Pemuda UMNO amatlah penting apatah lagi pada masa kita menghadapi tiga pilihanraya kecil, sebaik selepas berlangsungnya Persidangan UMNO dan proses pemilihan parti.

Kepada semua ahli Pemuda UMNO, marilah kita bersatu hati dan bekerja bersungguh-sungguh dalam satu barisan bersama ahli-ahli komponen parti yang lain di bawah Barisan Nasional dalam ketiga-tiga pilihanraya kecil di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai dengan semangat yang berani untuk membawa perubahan di atas landasan setiakawan untuk rakyat, dari rakyat dan demi rakyat."

Khairy berkata demikian sebagai mengulas kesediaan Mohamad Khir memberi sokongan kepada beliau selagi Ahli Parlimen Rembau itu tidak melencong dan berjuang di jalan agama, bangsa dan negara.

Sebelum ini, Mukhriz turut menyatakan beliau akan terus komited dalam perjuangannya bersama Pemuda UMNO dan menyokong Khairy.
Tambah Mukhriz, beliau juga akan memberi cadangan ke arah penambahbaikan Pemuda jika diminta berbuat demikian.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, sokongan terbuka oleh Mohamad Khir dan Mukhriz itu sebagai isyarat kepada akar umbi agar memberi peluang kepada beliau membuktikan kemampuannya.

No comments: