Friday, April 10, 2009

Khairy menyeru semua ahli pemuda memberikan sokongan padu kepada YAB Perdana Menteri



Satu pertemuan dan majlis ringkas minum pagi telah diadakan pagi tadi di mana YB Khairy Jamaluddin telah menjemput penyokong beliau dan juga Exco Pemuda UMNO Malaysia untuk bersama beliau bagi bertukar pendapat dan mendengar pandangan dari ahli-ahli Pemuda. Dalam ucapan ringkas YB Khairy telah menjelaskan kedudukan sebenar dan menyeru agar semua penyokong beliau untuk menerima keputusan Kabinet dan membantu beliau untuk melaksanakan kerja parti yang telah di amanahkan oleh Perdana Menteri. Beliau juga menyeru agar ahli UMNO tidak melabelkan diri mereka sebagai orang-orang pemimpin pemuda tertentu dan perlu membuang anggapan berkenaan kerana semuanya adalah Pemuda UMNO . Mereka mesti bersatu dengan semangat setiakawan sebagai Pemuda UMNO dibawah satu payung.

YB KJ juga menyeru agar semua ahli Pemuda UMNO untuk
memberikan sokongan padu kepada YAB Datuk Seri Najib Tun Razak Perdana Menteri Malaysia kerana beliau juga selaku Ketua Pemuda UMNO Malaysia akan terus setia dan memberikan sokongan yang padu kepada YAB Perdana Menteri. Beliau juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada yang telah membantu dan menyokong beliau semasa pemilihan dahulu dan baliau benar-benar berharap semua penyokong beliau jangan merasa kecewa… Meminjam kata-kata Ali Rustam , Dunia Belum Kiamat, Esok Masih Ada.
Beliau juga mengucapkan Syabas kepada dua pemimpin pemuda yang telah dipilih sebagai Timbalan Menteri dan beliau amat berbangga kerana pemuda diwakili oleh dua orang Timbalan Menteri. Beliau berkata , beliau sebenarnya tidak meletakkan harapan untuk menjawat jawatan dalam kerajaan ketika bertanding untuk merebut kerusi Ketua pemuda UMNO dan kerana itu beliau tidak merasa kecewa apabila dipanggil oleh Perdana Menteri sehari sebelum penamaan senarai kabinet.
Pemuda akan menjadi sebuah pertubuhan yang tidak terikat dan bebas untuk menyuarakan apa juga permasalahan yang diperjuangkan kerana beliau tidak terikat didalam kerajaan dan beliau berharap Pemuda akan menjadi sebuah sayap yang digeruni oleh kawan dan lawan seperti di zaman Datuk Harun Idris dahulu. Untuk mencapai matlamat ini pemuda perlu bersatu dan memupukan semangat setiakawan.
Beliau juga berharap agar semua yang hadir untuk menyampaikan apa yang telah beliau nyatakan dan berharap semua ahli Pemuda memahami akan pendirian beliau . Ucapan beliau telah disambut dengan penghormatan berdiri oleh lebih dari 300 ahli dan pemimpin pemuda dengan laungan KJ KJ KJ KJ . Majlis selesai pada jam 12.00 tengah hari sebelum mereka semua beredar menunaikan solat Jumaat di masjid Putra Jaya.

No comments: