Friday, April 3, 2009

Siti Aishah hanya ingat tali gantung



UTUSAN MALAYSIA
KANGAR 1 April - ''Sewaktu ditahan atas dakwaan memiliki dadah jenis heroin di Lapangan Terbang Antarabangsa Jinnah, Karachi awal tahun lalu, apa yang terlintas di kepala saya hanyalah hukuman mati dan tali gantung.
''Saya menyesal dan menyalahkan diri sendiri kerana disebabkan hal itu, saya terpaksa meringkok dalam penjara selama hampir setahun dan berjauhan dengan keluarga,'' demikian luahan Siti Aishah Hamid, 44, yang kini dibebaskan daripada penjara di Karachi selepas menjadi mangsa sindiket pengedaran dadah antarabangsa.
''Saban masa saya teringat suami dan keluarga. Tapi apa yang boleh saya lakukan kerana semua ini adalah salah diri saya sendiri yang mudah mempercayai sindiket yang berselindung di sebalik promosi pelancongan,'' katanya ketika ditemui di Kampung Permatang Pauh Simpang Empat di sini hari ini.
Siti Aishah yang menderita penyakit tulang rapuh menjadi mangsa sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang menawarkan hadiah berupa pakej melancong ke Singapura menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) pada 7 April lalu.
Beliau bagaimanapun ditahan pihak Imigresen Pakistan di Lapangan Terbang Antarabangsa Jinnah, Karachi, pada 27 April tahun lalu apabila dikesan cuba membawa keluar dadah jenis heroin seberat 950 gram dari Pakistan ke Malaysia.
Siti Aishah kemudian dikenakan hukuman penjara selama setahun bermula daripada tarikh dia ditahan. Bagaimanapun, wanita itu dibebaskan 45 hari lebih awal kerana didapati tidak bersalah serta berkelakuan baik sepanjang dalam penjara.
Katanya, sindiket itu sangat licik sehingga dia yang ditawarkan pakej itu tidak dapat berfikir dengan waras kerana tindakan mereka dilakukan dengan terancang.
''Setibanya saya di Kuala Lumpur mereka memberitahu perjalanan saya ke Singapura dibatalkan dan diganti ke Pakistan.
'
'Saya dimaklumkan semua hal termasuk tiket kapal terbang dan penginapan telah disediakan dan akan ada rakyat Malaysia yang lain akan mengikuti pakej melancong tersebut,'' ujarnya.
Menceritakan pengalaman sepanjang dalam tahanan di Pakistan, Siti Aishah berkata, dia menerima layanan yang baik sepanjang berada di dalam penjara.
''Kami ditempatkan dalam bilik penjara berbentuk dom. Seramai 40 orang wanita termasuk saya ialah warga asing yang ditahan atas pelbagai kesalahan.
''Dalam penjara, kami dibenarkan memasak makanan yang digemari asalkan mampu membeli bahannya. Jika tidak, kami boleh makan makanan yang disediakan tiga kali sehari," katanya yang kini boleh bertutur bahasa Urdu dan Inggeris.
Menurutnya, banduan juga dibenarkan untuk memakai pakaian masing-masing dan tidak ada pakaian yang dikhaskan.
''Suasana di dalam penjara agak bebas terutama apabila mereka mengetahui saya tidak berapa sihat kerana menghidap penyakit tulang rapuh. Tetapi sepanjang masa, saya sentiasa teringatkan kampung dan keluarga.
''Saya mendapat sokongan moral yang kuat daripada keluarga di sini dan mereka mengirim wang RM300 setiap bulan sebagai belanja untuk membeli makanan,'' jelasnya.
Siti Aishah berkata, ketika ditahan dia tidak menyangka beg yang diberikan kepadanya itu oleh dua ejen lelaki berkulit hitam dan perempuan untuk mengisi pakaian mempunyai dadah.
''Saya melihat di dalamnya tidak ada apa-apa tetapi apabila pihak imigresen di sana membuka beg itu pada bahagian bawahnya disembunyikan dadah.
''Harapan saya selepas ini, masyarakat mengambil iktibar atas apa yang berlaku ke atas diri saya dan tidak mudah percaya terhadap sebarang promosi untuk ke luar negara," ujarnya

No comments: