Sunday, June 28, 2009
Nik Aziz ajak Najib berdebat
Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menjemput Datuk Seri Najib Razak mengadakan debat terbuka bagi menyelesaikan kekalutan politik yang berlaku sejak sekian lama antara Umno-PAS.
Menteri besar Kelantan itu juga berkata draf surat jemputan rasmi kepada perdana menteri untuk mengadakan perdebatan itu telah siap dirangka dan akan dihantar dalam tempoh terdekat, lapor Bernama.
"Jemputan itu sengaja dibuat memandangkan kekecohan yang berlaku dalam politik hari ini, terutama antara PAS dan Umno," beliau dipetik berkata selepas mengimamkan solat sunat dhuha di perkarangan Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu pagi ini.
Turut hadir pada majlis sempena sambutan Bulan Sembahyang itu exco pendidikan, pembangunan Islam dan dakwah Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.
Nik Aziz dilaporkan berkata hasrat mengadakan perdebatan itu dibuat susulan tindakan Pemuda Umno negeri membuat aduan polis kelmarin berhubung kenyataannya dalam satu ceramah politik 21 Jun lalu, yang didakwa berbaur hasutan dan boleh mencetuskan ketegangan.
Katanya lagi, perkara yang berlaku sekarang tidak akan selesai hanya dengan menggunakan media sebagai saluran tetapi mesti dibincang secara berdepan.Nik Aziz dilaporkan menyamakan Umno dengan ajaran sesat Ayah Pin dan komunis.
Tuesday, June 16, 2009
Nik Aziz memutlakkan nasihatnya bercanggah hukum-hakam
Monday, June 15, 2009
Antara Lee Kuan Yew, Anwar dan Hugo Chavez
A. Kadir Jasin (www.akadirjasin.com) pada 11 Jun mengibaratkan lawatan itu seperti lawatan seorang Maharaja China kerana diberikan sambutan istimewa.
Tulisnya, adakah negarawan Malaysia seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad akan mendapat penghormatan dan keistimewaan serupa jika melawat Singapura?
''Saya tidak tahu secara langsung apa yang tersirat dan tersurat dalam lawatan itu kerana tidak dijemput menghadiri sebarang pertemuan atau taklimat. Tetapi yakin Kuan Yew pastinya tidak menjelajah seluruh Semenanjung, sekadar bernostalgia dan mengubati rindu,'' tulisnya.
Katanya, lawatan itu mungkin kerana Singapura bimbang dengan perkembangan politik negara ini dan sokongan bukan Melayu kepada pembangkang yang memungkinkan Pas memerintah.
"Kalau boleh, Kuan Yew mahu mempengaruhi masyarakat Cina di Malaysia supaya kembali menyokong BN. Malaysia yang stabil adalah penting kepada kestabilan politik dan ekonomi Singapura,'' tegas Kadir.
Tulisnya, jelaslah lawatan Kuan Yew itu bertujuan mencari maklumat dan risikan, mengenali dan mengukur kepintaran para pembesar Malaysia serta mengajar anak buahnya untuk mengenali barisan baru kepimpinan Malaysia.
Azrinizam Ibrahim dalam (suaraperubahan.blogspot.com) pula menyentuh mengenai sokongan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut mahukan Chin Peng dibenarkan kembali ke Malaysia.
''Begitulah Anwar, akhirnya dia bersetuju untuk membawa kembali Chin Peng ke Malaysia. Untuk apa Anwar bersungguh-sungguh benar mahu membawa pulang Chin Peng itu?
''Apakah ingin membela Anwar menghadapi kes liwat pada 22 Jun nanti? Atau Chin Peng akan masuk PKR seperti Zaid Ibrahim dan berceramah atas pentas PKR atas dasar hak asasi dan kebebasan bersuara?'' soalnya.
Penulis itu menegaskan, Anwar sudah pasti mempunyai muslihat tersendiri sehingga menyokong cadangan membawa pulang Chin Peng tersebut.
''Orang Melayu dalam PKR terutama yang keluarganya tersiksa kerana keganasan komunis perlu melihat kenyataan itu atas dasar kemanusiaan kepada keluarga masing-masing.
''Hanya orang yang tidak ada perasaan kemanusiaan sahaja mahukan Chin Peng kembali ke Malaysia,'' tulisnya.
Sementara itu, Al-Azharri Siddiq Kamunri dalam (www.jentayuabaka.com) pula mengulas mengenai blog pemimpin tertinggi MCA.
Katanya, sebagai seorang menteri kerajaan yang memerintah negara ini, pemimpin terbabit sepatutnya menunjukkan sikap patriotik yang tinggi kepada negara.
''Penulis tidak hairan bancian yang dibuat oleh menteri yang sama berhubung kedudukan MCA dalam BN, namun blog menteri terbabit sudah tidak ada nilai integriti.
''Kenapa perlu menarik balik bancian tersebut? Bukankah lebih baik memohon maaf daripada menarik balik?'' tulisnya.
Penulis tersebut turut mengulas mengenai penggunaan bahasa Mandarin dan Inggeris tetapi tidak ada bahasa Melayu dimuatkan dalam blog kontroversi menteri berkenaan.
''Menteri seperti itu harus diberikan kursus patriotisme supaya lebih patriotik kepada negara, bukan kepada kaumnya sahaja,'' tulis beliau.
Penulis blog dari Sabah, Musli Oli dalam Konspirasi Politik Melayu (konspirasipolitikmelayu.blogspot.com) kelmarin menulis tentang Presiden Venezuela, Hugo Chavez.
Katanya, beliau tertarik dengan sebuah rancangan televisyen yang memaparkan rakyat miskin Venezuela mencari tanah. Mereka membawa pita pengukur, menyukat dan memacak tiang bagi menandakan bahagian tanah masing-masing.
''Begitu mudah rakyat mendapat tanah di negara Venezuela sejak Hugo Chavez menjadi Presiden pada 1998. Selepas menang, semua tanah diistihar milik negara dan milik rakyat.
''Itulah janji pilihan raya Chavez yang meletuskan revolusi dan menyebabkan rakyat miskin menyokong perjuangannya. Saya tertarik dengan cara itu kerana ramai rakyat yang tidak bertanah akan gembira memiliki 2.7 ekar tanah.
Pas-UMNO perlukan 'salam cinta tanpa syarat'
KISAH Tun Ali memperisterikan Tun Kudu, isteri Sultan Melaka yang sanggup diceraikan baginda semata-mata untuk membalas budi dan meletakkan Tun Perak sebagai Bendahara adalah kisah pengorbanan demi sebuah keamanan dan perpaduan sebuah negeri bernama Melaka pada kurun ke-15.
Lantas soal perpaduan nasional mesti diberi keutamaan oleh semua pemimpin tidak kira dalam komponen Barisan Nasional mahupun pakatan pembangkang. Pelawaan ke arah perpaduan persis "huluran salam cinta tanpa syarat".
Perpaduan rakyat negara ini perlu melupakan sejenak fokus politik yang akan tidak ada titiknya. Hentikan sebentar polemik yang melemaskan rakyat dan menyukarkan dasardasar baru untuk memastikan ekonomi terus mapan dan pelaburan asing masuk.
Amalan demokrasi menghalalkan sedemikian namun soal perpaduan yang terlerai akan menyebabkan demokrasi menjadi ilusi. Sejarah UMNO dan Pas terlalu panjang dan kedua-dua parti yang memayungi majoriti umat Melayu dan Islam ini seharusnya sudah lama menamatkan perbezaan politik yang semakin menjurus ke persimpangan buat rakyat yang cintakan bangsa dan agamanya.
Namun segalanya dilihat sebagai rencah orang berpolitik, waima tidak kisah jika Chin Peng pulang ke tanah air, asal sahaja pendapat itu berbeza dengan kerajaan dan majoriti umat Melayu dan Islam di negara ini.
Sesungguhnya Pas dan UMNO perlu bersungguh-sungguh untuk bertemu demi perpaduan nasional. Suara-suara yang memprotes perlu memikirkan semula untuk bertemu empat mata walau perkembangan dua tiga hari ini dilihat sebagai gendang perang kempen N38 ManekUrai.
Kehangatan kempen bakal dibayangi dengan kes ketua pembangkang yang bakal dibicarakan, isu Chin Peng, isu tinjauan pendapat di blog Presiden MCA, krisis dalaman PPP dan paling penting ialah isu ekonomi yang sedang dirangsang.
Sunday, June 14, 2009
Kerajaan perpaduan: Niatkan kerana Allah, bukan kerana parti
Friday, June 12, 2009
Adun DAP Jawi nak letak jawatan pulak gara-gara RM 2000
2.Melihat sendiri senario pemerintahan DAP-PKR di PP ini yang seperti cakap tak serupa bikin dan ibarat seperti meludah ke langit dan kena muka depa balik .Mereka dulu cukup hebat mengutuk dan menuduh kerajaan BN dahulu banyak rasuah dan terlibat dalam skandal tanah . Kini apa yang mereka tuduh BN itu sudah pulang balik kepada mereka.LGE pada awal-awal pemerintahannya punya lah gah memperkenalkan CAT sebagai prinsip yang perlu dipegang dalam membentuk pentadbiran negeri, namun apa yang dapat dilihat kini adalah kegagalan pemimpin bawahannya untuk menggalas prinsip tersebut yang dibuat oleh mereka sendiri .
3.Sebelum ini kes fairuz khairudin yang dikatakan salahguna kuasa dan terlibat dalam isu kuari sehingga membawa ke perletakan jawatan dan diadakan PRK Penanti .
4. Terbaru ,kes di DUN Jawi yang diwakili oleh DAP telah didapati membuat tuntutan sebanyak RM2000 bagi urusan pembelian set audio visual untuk sebuah pertubuhan orang-orang Cina dalam kawasannya. Menurut sumber, pembelian set tersebut yang merangkumi sebuah television dan pemain cakera padat hanyalah sekitar RM450 sahaja.
5.Adun DAP itu menafikan berlakunya salah laku berhubung penajaan RM2,000 untuk pertubuhan amal. Beliau berkata, pihaknya meluluskan permohonan penajaan itu dan tidak terbabit dalam pembelian set televisyen dan pemain cakera padat.Katanya lagi, beliau terkejut apabila diberitahu nilai barangan yang dihantar kepada pertubuhan berkenaan kurang daripada RM2,000. Tan juga turut mengesahkan pegawai SPRM sudah mengambil kenyataan daripadanya. Malah, beliau berkata, tuduhan ketua bahagian DAP Nibong Tebal, Teh Hock Yong, terhadapnya berasaskan agenda peribadi.
6. Itu lah wahai Pakatan Rakyat, jangan anggap pemimpin anda semuanya maksum dan tidak melakukan dosa. Tamak dan mudah gelap mata apabila berdepan dengan wang kini sudah di depan mata anda . Dahulu boleh la anda cakap pemimpin BN rasuah tetapi kini Pakatan sudah ada kerajaan sendiri , isu rasuah ini tidak mustahil boleh berlaku .
Wednesday, June 10, 2009
Bacalah, hayatilah demi gagasan UMNO-Pas
SASTERAWAN Negara, Datuk Dr. Usman Awang (12 Julai 1929 - Ramadan 29 November 2001) mencoret sajak bertajuk Melayu dengan penuh kesedaran dan keinsafan. Renungilah, hayatilah setiap patah ayat-ayat keramat bekas wartawan Utusan Melayu ini; yang segenap hidupnya dikorbankan demi berjuang untuk agama, bangsa dan negara.
Allahyarham seorang penulis yang berani. Beliau menyatakan sikap dalam hal-hal besar yang menimpa bangsanya, agamanya dan tanah airnya. Baginya, seseorang hanya layak digelar penulis apabila sudah berani menyatakan sikap.
“Kalau tak berani tak payah jadi penulis,” kata Tongkat Warrant.
Demi orang Melayu yang amat mengharapkan gagasan perpaduan UMNO-Pas - yang dicadangkan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk membentuk apa yang dikenalinya sebagai ‘kerajaan perpaduan’ - sekali lagi, bacalah, hayatilah sajak ini...
Melayu
Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan.
Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar,
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut,
Biar mati adat
Jangan mati anak
Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu,
Bugis itu Melayu,
Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu
,Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu,
Mamak dan Malbari serap ke Melayu,
Malah mua‘alaf bertakrif Melayu
Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan
Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara
Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
Tanah sebidang mudah terjual
Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba
Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi
Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri
Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak
Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh di cari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan
Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturahim hati yang murni
Maaf diungkap sentiasa bersahut
Tangan dihulur sentiasa disambut
Luka pun tidak lagi berparut
Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selagi yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
“Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran”
Bagaimanakah Melayu abad kedua puluh satu
Masihkah tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan
Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara merdeka.
Usman Awang
Al-Fatihah
Tuesday, June 9, 2009
Abang berkorban demi ibu, adik
PULAU PINANG 6 Jun - Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Begitulah yang terjadi kepada Zahin Mat, 32, apabila ibunya menghidap barah usus dan adik bongsunya pula berhadapan dengan penyakit leukimia.
Demi kasih terhadap ibunya, Aminah Arshad, 62, yang terlantar sakit, Zahin sanggup berhenti kerja sejak lapan tahun lalu untuk menjaga ibu dan adiknya, Mohamad Solihin, 13, yang dikesan menghidap leukimia pada 19 Mei lalu.
Hati Zahin seperti diruntun dan dimamah apabila terpaksa membiarkan bapanya yang sudah uzur, Mat Sahid, 70, mencari sesuap nasi untuk menampung kehidupan mereka sekeluarga dengan bekerja sebagai tukang sapu di Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP).
Zahin, anak ketiga daripada sembilan orang adik beradik berkata , bukannya adik beradik lain tidak membantu tetapi masing-masing telah berkeluarga dan sekadar cukup makan dan pakai.
Menurutnya, disebabkan tiada wang, ibunya menderita menahan sakit kerana tidak mampu membiayai kos rawatan susulan.
"Bagaimana harus saya luahkan keperitan hidup kami sekeluarga ? Saya sedih melihat penderitaan ibu dan kini, adik saya pula yang memerlukan banyak wang untuk rawatan.
"Dalam keadaan tidak bekerja, mana mungkin saya mampu membiayai kos rawatan untuk ibu dan adik. Bukan saya tidak mahu bekerja tetapi siapa yang akan menjaga mereka," ujarnya ketika ditemui di Kampung Naran, Batu Maung di sini hari ini.
Terdahulu Zahin dan keluarga menerima kunjungan Pengerusi Sekretariat Hal Ehwal Bandar (SHEB) Pergerakan Pemuda UMNO, Tengku Azman Tengku Zainol Abidin dan Ketua Pemuda UMNO negeri, Norman Zahlan yang memberi sumbangan sebanyak RM1,000.
Menurut Zahin, dia terpaksa menebalkan muka memohon bantuan untuk membiayai kos rawatan ibu dan adiknya yang sebelum ini merupakan seorang pelajar yang aktif dalam bidang olahraga di sekolah.
Katanya, selain mendapatkan bantuan daripada Pemuda UMNO negeri, dia juga telah memohon bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Sementara itu, Mohamad Solihin yang merupakan pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Tun Uda, Bayan Baru di sini berkata, harapannya hanya satu untuk sembuh dan dapat hidup seperti insan lain.
Dalam pada itu, Norman berjanji akan cuba membantu Zahin dengan membuat semakan semula terhadap permohonan bantuan yang dikemukakan sebelum ini selain mempercepatkan permohonan untuk mendapatkan bantuan daripada JKM.
Mereka yang berhasrat untuk menghulurkan bantuan boleh menghubungi Zahin di alamat AA-54, Sungai Nibong Tengah, Bayan Baru atau di talian 016-4783549.
Monday, June 8, 2009
Muzakarah
Sehubungan dengan itu, UMNO-PAS perlulah mengenepikan sebarang persoalan dan pergolakan politik dan seterusnya mengambil pendekatan husnul dzon (bersangka baik) bagi mencari titik permuafakatan untuk masa depan negara.
UMNO-PAS haruslah juga mengelak dari terjerumus kepada polemik syak wasangka atau pencarian kepada siapa yang lebih atau kurang Islam atau Melayunya. Dari itu, perlu saya tekankan di sini bahawa UMNO tidak pun mengutamakan atau terlampau mengharapkan Kerajaan Perpaduan hasil muzakarah yang dijalankan.
Maka, PAS tidaklah perlu khuatir akan keikhlasan UMNO - yang paling penting sekali adalah untuk kedua-dua parti mencari titik persamaan mengenai isu-isu nasional seperti ekonomi, pembangunan dan kebajikan rakyat. Persefahaman berkisar isu sebegini insya-Allah mampu menonjolkan elemen kesederhanaan dan progresif, lantas wajar disambut seluruh warga Malaysia. Sekiranya ini membawa kepada agenda yang lebih konkrit pada masa hadapan, biarlah kedua-dua pihak berunding pada masa kelak.
Pada masa dan ketika ini, apa salahnya jika dibuka pintu dialog sepertimana yang diseru oleh Presiden PAS sendiri Datuk Seri Haji Hadi dan juga Timbalannya Nasharudin Mat Isa. Justeru, demi kebaikan semua pihak, Pemuda UMNO berharap pemimpin kedua-dua parti bersetuju untuk bersemuka dan bermuzakarah.