Tuesday, October 20, 2009

Isu Semasa Pemuda: Pemuda Mahu Hidupkan Semangat Kesukarelawan Dalam Parti

Kuala Lumpur -- Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin berkata pergerakan itu akan menghidupkan semangat kesukarelaan di kalangan ahli dalam memperkasakan UMNO.

Ini kerana katanya aspek perkhidmatan dan kesukarelaan merupakan satu nilai yang kini telah hilang dalam parti UMNO.

"Kita perlu hayati pesanan Presiden parti yang mahukan ahli memberi sumbangan kepada parti bukan apa yang kita bleh dapat dari parti.

"Saya dibesarkan dalam UMNO di zaman moden, zaman canggih yang ada bangunan besar, pejabat besar dan bagi saya dan Pemuda UMNO, mungkin lupa atau tidak tahu pengorbanan orang UMNO terdahulu.

"Maka kita tidak minta apa-apa kepada parti, malah kita hendak beri balik kepada parti kerana kita sayang UMNO," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi terhadap ucapan dasar Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO 2009 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Jelas beliau lagi ia merupakan cabaran kepada parti kerana selama ini ahli-ahli banyak meminta kepada UMNO.

Justeru tegasnya golongan profesional juga harus memberi sumbangan kepada UMNO termasuk membantu dalam pilihan raya atau sebagainya kerana apa yang telah diberi selama ini oleh UMNO, perlu dipulangkan.

Pada masa yang sama beliau juga mahu memastikan setiap bantuan yang diberikan mesti dipastikan sampai kepada mereka yang berhak dan layak menerimanya.

"Jangan lagi kita memberi bantuan kepada mereka yang tidak layak. Maksudnya ialah kaum Melayu sudah ada keupayaan dan kekuatan diri dan tidak mengambil bantuan yang diperlukan oleh orang lain," ujarnya.