Tuesday, November 17, 2009

TKM 1 Mansor Othman tidak berani jawab isu tanah Lot 408


GEORGETOWN - Meskipun didesak oleh pemimpin Barisan Nasional (BN) agar menyampaikan fakta sebenar berhubung isu status sebidang tanah milik kerajaan di Lot 408, Georgetown yang dikatakan sudah diserahkan kepada pihak tertentu pada Jun lalu, Kerajaan Negeri mengambil langkah untuk terus berdiam diri daripada menjawab segala dakwaan yang dikemukakan.

Terbaru, Timbalan Ketua Menteri I, Mansor Othman ketika dihubungi Sinar Harian, turut enggan memberikan sebarang komen dan mengulas lanjut mengenai isu itu, sebaliknya menyatakan alasan tidak mengetahui butiran sebenar mengenai perkara itu secara lebih mendalam.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) turut meminta pihak media agar menunggu kepulangan Ketua Menteri, Lim Guan Eng dari lawatan kerja ke luar negara baru-baru ini untuk mendapatkan penjelasan terus beliau berhubung isu ini. “Saya tidak mahu komen apa-apa berhubung isu ini sebab saya tidak ada butiran konkrit mengenainya. “Kita tunggulah kepulangan Ketua Menteri (Guan Eng) untuk mendapatkan penjelasan sebenar,” katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian.

Sebelum ini, beberapa media tempatan melaporkan Ketua Menteri digesa memberi penjelasan berhubung status pemilikan tanah Lot 408 bersebelahan Hotel Eastern & Oriental di Georgetown yang didakwa telah ditukar oleh Kerajaan Negeri. Ketua Pembangkang, Datuk Azhar Ibrahim berkata, sebagai orang nombor satu di Pulau Pinang, Guan Eng perlu tampil bercakap benar dan jujur selaras dengan prinsip cekap, akauntabiliti dan telus (CAT) yang kerap dilaungkan.

Menurutnya, semua wakil rakyat UMNO dan parti komponen BN negeri ingin mengetahui kedudukan sebenar isu tersebut.Sebuah akhbar berbahasa Inggeris tempatan pada 1 November lalu melaporkan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Muhammad Farid Saad mendakwa Guan Eng menipu apabila menyatakan tiada pertukaran syarat guna tanah berlaku antara April tahun lalu hingga Jun tahun ini.

Bagaimanapun, difahamkan, pentadbiran beliau telah meluluskan permohonan PDC Heritage Hotel Sdn Bhd untuk menukar jenis pegangan tanah di Lot 408, Georgetown daripada pegangan pajakan kepada pegangan kekal pada 3 Jun lalu.

Akhbar itu pada Khamis lalu juga melaporkan syarikat tersebut dengan kerjasama YTL Corporation Bhd akan membina kondominium mewah dan restoran makanan laut di atas tanah tersebut.

Monday, November 16, 2009

DUN Kota Siputeh diisytiharkan kosong



Kerusi DUN Kota Siputeh diisytiharkan kosong dan membuka laluan kepada pilihan raya kecil jika penyandangnya dari Umno, Datuk Abu Hassan Sarif gagal dalam rayuannya.
Keputusan tersebut dibuat oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur petang ini setelah mendengar permohonan Speaker DUN Kedah, Datuk Dr Abdul Isa Ismail untuk semakan kehakiman terhadap keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mengekalkan Abu Hassan sebagai ADUN di situ.
Abdul Isa memfailkan saman pada 1 Oktober lalu, menamakan Abu Hassan daripada BN dan SPR sebagai responden.Beliau memohon diisytiharkan Abu Hassan bukan lagi ADUN bagi kerusi tersebut berikutan kegagalannya menghadiri dua persidangan DUN secara berturut-turut dan injunksi menghalang beliau daripada menjalankan tugas sebagai wakil rakyat.
Beliau juga memohon mahkamah mengisytiharkan kerusi itu kosong dan memerintahkan SPR mengadakan pilihan raya kecil di samping memohon ganti rugi, kos dan faedah lain.
Pada 1 September lalu, SPR memutuskan tidak berlaku kekosongan di kerusi Kota Siputeh dan Abu Hassan masih menjadi wakil rakyatnya.Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan bertindak bagi pihak SPR.
DUN Kedah akan bersidang esok untuk meluluskan bajet kerajaan PAS negeri itu.
Abu Hassan boleh memfailkan rayuan. Permohonan lisannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman mahkamah itu tidak dibenarkan hari ini.
Bagaimanapun, mahkamah akan mendengar permohonan formalnya Jumaat ini.
Dalam pilihan raya umum lalu, Abu Hassan menewaskan calon PAS Ismail Wan Teh dengan majoriti kecil 495 undi.Abu Hassan mendapat 8,160 undi manakala Ismail mendapat 7,665 undi.