Monday, December 15, 2008

Suami rayu bantuan bebaskan isteri ditahan di Pakistan


PULAU PINANG 14 Dis. - "Tolonglah selamatkan isteri saya, saya merayu kepada semua bantulah kami. Saya benar-benar tidak tahu apa yang patut dibuat lagi," rintih Jaafar Noor, 43, suami kepada wanita kurang upaya, Siti Aishah Hamid (gambar kecil) yang kini meringkuk di sebuah penjara di Pakistan akibat diperdayakan oleh sindiket pengedaran dadah antarabangsa.
Menurut pengawal keselamatan itu, semenjak isterinya ditahan kira-kira lapan bulan lalu, dia telah berjumpa pelbagai pihak untuk mengadu masalah yang dihadapinya itu dan rata-rata menjanjikan pertolongan.
Namun, kata Jaafar, semua itu hanya 'sekadar janji' dan usaha untuk membebaskan isterinya masih menemui jalan buntu memandangkan wang sumbangan tabung yang dilancarkan sebelum ini hanya RM40 diterimanya.
"Semenjak dia (isteri) ditahan 27 April lalu, hanya panggilan telefon daripadanya sahajalah jadi penghubung kami. Dia memberitahu dia sihat cuma makanan di sana tidak kena dengan tekaknya dan semenjak hari itu saya memasukkan RM300 sebulan untuknya bagi membeli makanan.
"Walaupun, dia memberitahu dia sihat, itu hanya daripada suaranya. Selagi tidak melihat dengan mata sendiri saya tetap bimbang dan akan cuba berusaha sedaya upaya supaya dapat berjumpa dengannya secepat mungkin," jelasnya.
Jaafar berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas pelancaran tabung bagi membantunya oleh Pergerakan Pemuda UMNO Bayan Baru dan Sekretariat Pembelaan Masyarakat Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia di Dewan Kampung Permatang Damar Laut, Bayan Lepas di sini hari ini.
Pada majlis itu, Ketua Pemuda UMNO Bayan Baru, Norman Zahalan menyampaikan sumbangan RM1,000 kepada Jaafar melalui tabung tersebut.
Siti Aishah, 43, dikatakan terpedaya dengan taktik terbaru sindiket terbabit yang menawarkan hadiah berupa pakej melancong ke Singapura menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) pada 7 April lalu.
Kali terakhir mangsa menghubungi Jaafar adalah ketika tiba di Singapura pada pagi 10 April.
Selepas itu pada 27 April lalu pula, dia menerima satu panggilan dari pegawai Konsulat Malaysia di Karachi, Gaafri Khalid Abdul Rahman yang memaklumkan isterinya ditahan di penjara kerana cuba membawa keluar dadah jenis heroin seberat 950 gram dari Pakistan ke Malaysia.
Siti Aishah yang menghidap penyakit tulang rapuh, SLE merupakan OKU kedua menjadi mangsa sindiket dadah antarabangsa, dengan seorang lagi kini meringkuk di sebuah penjara di Peru.
Sementara itu, Norman berkata, pihaknya amat berharap pelbagai pihak sudi menghulurkan bantuan kepada Jaafar supaya dia dapat berjumpa dengan isterinya di Pakistan.
"Selain itu, wang itu juga akan digunakan untuk mendapatkan peguam bagi mewakili Siti Aishah di sana kerana sistem perundangan negara itu tidak membenarkan peguam luar mewakili tertuduh yang ditahan.
"Kita juga akan membantu Jaafar untuk berbincang dengan Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan pihak berkuasa kerajaan Pakistan supaya satu jalan penyelesaian dapat dicapai,'' katanya.
Menurut beliau, orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan kepada Jaafar boleh menyalurkan bantuan melalui akaun Bank Islam 07034010006312 atas nama Pergerakan Pemuda UMNO Bayan Baru.
Kata Norman, orang ramai boleh menghubungi beliau di talian 016-3334411 atau Setiausaha Sekretariat Pembelaan Masyarakat Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Muhd. Khairun Aseh di talian 013-3459988 bagi maklumat lanjut.

No comments: