Friday, February 27, 2009

Malaysiakini : Antara Berani Berubah kepada Berubah Berani...


MELIHAT Saudara Khairy Jamaluddin di barisan depan Pergerakan Pemuda Umno, hati kecil saya berkata; “Pemuda Umno seperti berada di zaman Harun Idris, Jaafar Albar dan Najib Tun Razak.”
Pemuda Umno betul-betul menjadi sayap parti yang tiba-tiba berubah. Ia berubah bukan seperti orang yang suka berubah-ubah, seperti sumpah-sumpah tetapi ia berubah kerana selama ini, seperti ada satu kerinduan datang, mahu melihat Pemuda Umno betul-betul mempunyai semangat setiakawan dan berubah dari penakut kepada berani.
Keberanian mereka, bukan setakat ditunjukkan di depan Karpal Singh yang mengelarkan dirinya ‘Singh is King’ tetapi keberanian sebenarnya Pemuda Umno bersama-sama Khairy Jamaluddin ialah mempertahankan Raja-Raja Melayu, sebelum ini Khairy Jamaluddin juga mempunyai keberanian berdepan dengan sesiapa sahaja, termasuk Pas (Husam Musa), Salahuddin Ayub (Pas) dan pimpinan Siqiu dan sebagainya sebelum ini hingga menyebabkan orang lain cemburu.
Sebenarnya ‘sicelaka’ Karpal Singh ini terlalu kecil bagi Khairy Jamaluddin tetapi disebabkan Khairy Jamaluddin ini seorang yang terpelajar, pandai beradat dan tidak mahu menunjukkan kebiadapan kepada seorang Ahli Parlimen, maka cabarannya supaya Karpal Singh membuktikan bahawa Pemuda Umno yang mengirimkan dua butir peluru kepadanya secara penuh hemah!
Inilah sebenarnya karisme. Ia bukan boleh dibuat-buat tetapi ia sesuatu yang dianugerahkan kepada mereka yang layak. Kecaman dan kutukan Pemuda Umno terhadap tuduhan Karpal Singh bahawa pergerakan itu menghantar dua peluru bertujuan menggugutnya serta memberi tempoh 24 jam untuk peguam itu membuktikan dakwaannya.
Sambil menyifatkan perkara itu tuduhan liar, gila dan berniat jahat, Naik Ketua Pemuda Umno itu mencabar Karpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu mengemukakan bukti.
“Kapal penakut kerana membuat kenyataan itu dengan berselindung di sebalik kekebalan dalam Dewan Rakyat. Tuduhan itu berat serta mencabar maruah dan intergriti Pemuda Umno, sekaligus membangkitkan kemarahan 700,000 ahli dari seluruh negara.
“Jika beliau gagal menunjukkan bukti dalam tempoh 24 jam, secara otomatik rakyat boleh membuat kesimpulan Karpal penipu yang ketandusan modal dan hilang kreadibiliti serta kewarasan.
“Kami memintanya memohon maaf kerana manusia seperti beliau tidak reti (faham) makna taubat dan mengaku salah,” katanya pada sidang akhbar di Bangunan Parlimen Khamis lalu.
Hadir sama lebih 30 ahli Pemuda Umno seluruh negara termasuk Wilayah Persekutuan, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Pahang dan Sabah.
Inilah sebenarnya potensi Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia. Inilah yang diharapkan menjadi pilihan perwakilan Pemuda. Seorang AJK Umno dari salah satu bahagian di utara tanahair ketika di temui di PWTC berkata, ketika saya mengkagumi kebolehan dan kemampuan Khairy Jamaluddin, saya juga mengharapkan Pemuda Umno turut mengkaguminya.
Ahli Parlimen Rembau ini bukan sahaja bergaya dengan slogan untuk bertanding sebaliknya membuktikan beliau benar-benar menjadi ikon kepada Pemuda Umno dari seluruh pelusuk tanahair, membuktikan karisme, berpendidikan, berani, berketerampilan, tegas tetapi dalam masa yang sama, mempunyai semangat setiakawan.
“Biasalah. Bila beliau cerdik, berani dan berkemampuan, akan datanglah fitnah dan serangan dari mereka yang mencemburuinya. Malanglah kalau Pemuda Umno tidak memilihnya menjadi Ketua apabila peluang memilih itu datang,” tegasnya ketika menonton Berita TV3 jam 1.30 di Riverside CafĂ© PWTC.
Khairy Jamaluddin sebenarnya dilihat berani kerana ‘berani mempertahankan kebenaran’. Itulah sebabnya, ketika menjadi penalis program Hujah TV9 di Dewan Bahasa dan Pustaka, keberanian Khairy Jamaluddin mempertahankan Umno dan kerajaan dilihat ‘keberanian yang tidak menjadikannya popular’.
Sedangkan dua lagi penalis, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo dan Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir pula terus menerus menyalahkan Umno dan kepimpinan sedangkan mereka berdua terpilih menjaid calon dan menang pilihan raya lalu kerana pilihan dari pemimpin dan mewakili parti yang mereka salahkan itu.
Ketika Dr. Mohamad Khir Toyo menyerang Umno, kononnya Umno perlu berubah, sedarkan dia bahawa kerana dia tidak mahu berubahlah yang menyebabkan pengundi di Selangor menolak BN. Ketika Mukhriz menyerang kepimpinan, sedarkan dia bahawa kepimpinan yang dia serang itulah yang meletakkan dia bertanding dalam pilihan raya dan kerosakan yang berlaku dalam Umno hari ini adalah legasi Dr. Mahathir yang terlalu lama ‘berkuku’ dalam Umno.
Sedarkan Dr. Mohamad Khir Toyo, Anwar Ibrahim yang menjadi musuh Umno hari ini adalah ikon’ dia ketika dia baru-baru menjadi ADUN dan belum dilantik menjadi Menri Besar Selangor, ada orang nampak kelibatnya di sekitar Masjid Kampung Baru ketika reformasi sedang bergema di Kuala Lumpur setiap Sabtu.
Ketika Mukhriz membawa slogan ‘berani berubah’ hanya sebagai slogan dan retorik, Khairy Jamaluddin pula melakukan sesuatu yang dilihat ‘berubah menjadi berani’ dengan meletakkan slogan Setiakawan di depan.
Maruah Pemuda Umno dipertahankan Khairy Jamaluddin dengan membawa Pemuda Umno berhimpun di Ipoh bagi menyatakan taat setia kepada Sultan Perak yang digugat mereka yang biadap dan mahu mempersoalkan kuasa yang ada pada Baginda.
Beberapa pemimpin Pas cuba membuka cerita lama kononnya Umno mempelopori semangat tidak setia kepada Raja-Raja tetapi mereka lupa, bahawa institusi Raja-Raja menjadi semakin dihormati ketika Umno/BN memerintah tetapi jika kuasa ini terlepas ke tangan mereka, mereka akan membawa cerita baru… semua manusia adalah serupa sahaja walaupun mereka dari keturunan Raja

Thursday, February 26, 2009

Bincang Dulu Isu ISA


Oleh Rohani Ibrahim
KUALA LUMPUR 24 Feb. - Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menuntut Ketua Dewan Pemuda Pas, Salahuddin Ayub mengadakan perbincangan mengenai isu Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang telah tertangguh sejak tiga bulan lalu.
Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau membuat tuntutan itu ketika Salahuddin menghantar surat cabaran supaya Dewan Pemuda Pas berdebat dengan Pemuda UMNO berhubung isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di Parlimen hari ini.
Khairy berkata, beliau tidak pernah lupa jemputannya kepada Salahuddin untuk membincangkan isu ISA tiga bulan lalu.''Hari ini Dewan Pemuda Pas minta bincang isu PPSMI pula.''Saya sudah tiga bulan minta dia bincang tentang ISA tapi masih belum sampai ke meja rundingan," katanya ketika menerima surat cabaran berdebat mengenai isu PPSMI yang ditujukan kepada Ketua Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Mengenai cabaran Dewan Pemuda Pas untuk berdebat mengenai isu PPSMI, Khairy menambah, perkara berkenaan mesti dibincangkan terlebih dulu memandangkan pemilihan parti sudah semakin hampir.''Pemuda UMNO akan membincangkan jawapan kepada surat Dewan Pemuda Pas yang disampaikan kepada saya hari ini," katanya.
Sementara itu, Salahuddin menjelaskan, perbincangan mengenai ISA tertangguh kerana beliau menunaikan fardu haji, terlibat dalam Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu dan kemelut politik di Perak.''Justeru hari ini saya ingin maklumkan saya bersedia mengadakan perbincangan tidak formal empat mata dengan Khairy minggu depan di satu bilik di Parlimen.
Ia bukanlah satu debat tapi sekadar perbincangan saja," katanya.Mengenai isu PPSMI, jelas Salahuddin, ia sudah menjadi isu masyarakat Melayu dan sayap Pemuda dari dua parti yang besar dalam negara perlu memberikan input.
''Input yang diberikan akan membolehkan keputusan lebih tepat dan berlandaskan realiti dicapai berhubung isu PPSMI. Ini adalah demi masa depan negara," katanya

Tuesday, February 24, 2009

Malaysiakini : PPSMI - Khairy Terima Surat Cabaran Debat Pemuda PAS....


Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy hari ini menerima surat cabaran debat dari Ketua Pemuda PAS, Salahudin Ayub tengahari tadi di lobi Parlimen , beliau bersetuju menerima surat jemputan debat tersebut bagi mewakili Pergerakan Pemuda Umno Malaysia.
Debat tersebut membincangkan isu pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) dan ISA.
Khairy akan berbincang terlebih dahulu, untuk meminta persetujuan dan pendangan dari Ketua Pemuda UMNO, yang juga Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan juga kepada Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, berhubung dengan cabaran debat tersebut.
Menjawab soalan pemberita pada sidang akhbar selepas menerima surat berkenaan , Salahuddin berkata bahawa beliau menghormati Khairy sebagai seorang pemimpin muda yang sedia memikul tanggungjawab , menerima cabaran debat tersebut. Salahudin berkata beliau menghormati Khairy sebagai seorang pemimpin muda yang membina yang mengamalkan sikap politik yang terbuka. Justeru itu bermulalah satu jambatan perbincangan dan muzakarah bagi orang melayu dan Islam.
Beliau juga turut berkata bahawa beliau percaya Khairy bakal menjadi Ketua Pemuda UMNO pada pimilihan UMNO bulan Mac yang akan datang dan memuji sikap keberanian Khairy sedia menyahut cabaran dari Dewan Pemuda PAS.
Kenyataan dari Salahuddin tersebut membuktikan bahawa Khairy adalah seorang pemimpin yang dihormati dan disegani oleh pihak pembangkang dan beliau sentiasa sedia menyahut cabaran dari pihak lawan bila-bila masa sahaja.

Pemuda UMNO Bantu Kanak-Kanak Kanser

PULAU PINANG 23 Feb. - Atas dasar perikemanusiaan, pelbagai pihak tampil menghulurkan sumbangan bagi mengurangkan beban seorang pesakit kanser hati, Muhammad Amir Farhan, 9 tahun.

Antaranya, Pergerakan Pemuda UMNO Pulau Pinang yang mengambil inisiatif menyumbangkan kira-kira RM1,445 kepada bapa Muhammad Farhan, Md. Nizan Wan Chek, 37, pada satu majlis makan tengah hari di Restoran Pen Mutiara, Batu Maung di sini.

Ketua Pemuda UMNO Bayan Baru, Norman Zahalan berkata, pihaknya mengambil inisiatif mengutip derma di kalangan ahli bagi meringankan beban keluarga Farhan dalam menanggung perbelanjaan kos rawatan.

''Kami terpanggil untuk menghulurkan sumbangan kepada Farhan selepas membaca laporan akhbar baru-baru ini mengenai penderitaannya itu. Lagipun mereka bukan daripada keluarga senang.

''Ini adalah sebahagian daripada kerja amal Pemuda untuk mendekati masyarakat. Kami harap ada ramai pemimpin lain tampil memberi sumbangan kepada keluarga Farhan bagi membiayai kos perubatannya," katanya di sini hari ini.

Akhbar kelmarin melaporkan Farhan yang dulu sihat kini semakin kurus dan perutnya semakin membesar selain kaki dan tangannya mula membengkak mengakibatkan dia tidak mampu untuk berdiri.

Penyakit kanser hati itu mulai dikesan sejak empat bulan lalu apabila Muhammad Amir mengadu batuk selama seminggu sebelum dibawa ke klinik dan didapati paru-parunya berair.
Dalam pada itu, Md. Nizan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menghulurkan sumbangan bagi mengurangkan kos rawatan anak bongsunya itu.

Katanya, pendapatan keluarganya memang tidak cukup untuk menampung kesemua perbelanjaan rawatan Farhan memandangkan kos rawatan homeopatinya sahaja mencecah hampir RM1,000 sebulan.

''Saya berharap kami dapat mengumpul dana secukupnya sebelum dapat membawa Farhan untuk menerima rawatan lanjut di hospital swasta pula,'' katanya.
Menurutnya, orang ramai yang bersimpati dan mahu menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian dengan memasukkan wang ke dalam akaun bank CIMB isterinya, Siti Hamra Sidik. (nombor akaun 0714-0162728-52-8).

Monday, February 23, 2009

'Virus' Saluran 4 Dan 5

SENARIO yang berlaku ketika proses pengiraan undi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Januari lalu agak menarik untuk direnung. Ini kerana ketika proses pengiraan bermula, Barisan Nasional (BN) dilihat mendahului kerana majoriti undi saluran 1,2 dan 3 menyebelahi parti itu. Bagaimanapun situasi berubah apabila kotak undi saluran 4 dan 5 dikira, BN tewas satu demi satu sebelum diisytiharkan kalah.

Namun begitu kegagalan BN menguasai saluran 4 dan 5 yang dianggap suara generasi muda bukanlah suatu kejutan, sebaliknya ia sememangnya sudah dijangkakan. Malah itu merupakan kali kedua BN tewas dalam pilihan raya kecil akibat saluran berkenaan, sebelumnya BN kecundang di Permatang Pauh. Kegagalan BN mempertahankan majoriti dua pertiga di Parlimen serta kehilangan kuasa di Kedah, Perak dan Selangor juga dikaitkan dengan saluran tersebut.

Malah di Kelantan, pengundi muda dikatakan sama sekali tidak menyebelahi BN sehingga memungkinkan Pas terus berkuasa di negeri tersebut.

Generasi muda yang menguasai undi di saluran 4 dan 5 mempunyai pemikiran berbeza. Perkembangan teknologi maklumat yang berkembang pesat telah membolehkan mereka bukan sahaja mendapat sebarang perkembangan dengan cepat malah boleh diracuni fikiran mereka oleh permainan kotor pembangkang. Persepsi yang paling mencabar untuk dihapuskan oleh BN di kalangan generasi muda ialah kalau BN cakap itu propaganda dan kalau pembangkang cakap itu kebenaran.

Mengulas isu saluran 4 dan 5 ini, penganalisis politik, Prof. Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, generasi mudah tidak mahu mendekati BN kerana mereka melihat parti itu termasuklah UMNO seperti tidak mewakili aspirasi mereka sebaliknya hanya untuk kepentingan orang-orang yang lebih dewasa khususnya golongan elit.

''Kepada mereka, UMNO sudah menjadi terlalu elitis, malah golongan muda dalam BN dan UMNO juga sangat elitis dengan gaya hidup 'super newah' dan umpama selebriti," katanya ketika dihubungi.

Kenyataan Dr.Mohamed Mustafa ini bukanlah perkara baru tetapi inilah persepsi rakyat termasuk generasi muda kepada BN terutamanya UMNO.

Dalam tinjauan penulis di Bukit Gantang dan Bukit Selambau, baru-baru ini, persepsi ini juga wujud di kalangan penduduk.

Mereka mengaitkan UMNO dengan gaya hidup mewah, mereka muak dengan gelagat sesetengah pemimpin Pemuda yang dilihat terlalu elit apabila masuk ke kampung-kampung.

Lebih memburukkan lagi keadaan melalui propaganda yang dilakukan oleh pembangkang tanpa mahu mengkaji sama ada sesuatu dakwaan itu benar atau tidak, pemimpin-pemimpin BN terutamanya UMNO sering dikaitkan dengan rasuah, skandal dan sebagainya.

Mungkin ia adalah persepsi tetapi akibat persepsilah BN hampir kecundang dalam pilihan raya umum lalu.

Semua ini tidak menguntungkan BN, persepsi buruk masih menebal di kalangan rakyat terhadap parti itu terutamanya generasi muda yang menguasai saluran 4 dan 5 masih menebal.

BN akan terus menghadapi masalah jika persepsi ini tidak ditangani dengan betul. Keadaan menjadi semakin mencabar apabila tiada usaha bersungguh-sungguh dilakukan oleh pemimpin-pemimpin muda dalam BN untuk mendekati pengundi-pengundi muda.

''Pemimpin-pemimpin atas BN dan UMNO sudah lama disenggaged dengan orang muda di institut pengajian tinggi dan kolej-kolej, tiada dialog dua hala dan interaksi dengan golongan muda," kata Dr. Mohamed Mustafa.

Bagi parti tersebut, masalah lebih ketara ialah generasi muda tidak melihat mana-mana pemimpin parti itu yang sesuai atau setaraf dengan ketokohan yang ada kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Jika dulu walaupun mereka tidak menyukai BN dan UMNO tetapi berikutan ketokohan yang ada kepada Dr. Mahathir mereka sedia menyebelahi BN begitu juga kaum bukan Melayu.

Namun sekarang suasana sudah berbeza. Walaupun apa yang dikatakan oleh generasi muda mengenai barisan kepimpinan BN dan UMNO hanyalah persepsi tetapi tafsiran seumpama itu tidak harus dibiarkan.

''Kita terpaksa akui bahawa kepetahan bercakap yang ada kepada pembangkang tidak ada kepada sebahagian besar pemimpin BN, walaupun apa yang dikatakan oleh pembangkang hanyalah retorik dan hipokrit tetapi macam mana hendak kita hendak yakinkan rakyat, ini soalnya," kata seorang pemimpin Pemuda UMNO bertaraf Ahli Parlimen ketika dihubungi.

Sebagai contohnya, isu lompat parti, ia hakikatnya dipelopori oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim tetapi apabila ada ahli pembangkang beralih arah menyokong BN, pembangkang berjaya meracuni pemikiran rakyat untuk mempercayai ia perbuatan tidak bermoral tetapi semasa mereka menguar-uarkan 'mimpi 16 September' bagi menumbangkan kerajaan BN tidak pula soal ini ditimbulkan?

Begitu juga soal moral, apabila pemimpin BN didapati melakukan perbuatan yang bertentangan dengan moral, mereka menyerang habis-habisan sehinggakan rakyat melihat pemimpin BN terlalu jijik tetapi apabila ia dikaitkan dengan pembangkang, ia akan dianggap satu fitnah dan konspirasi politik paling jahat dan keji.

Tetapi BN tidak mampu menangani ini semua, generasi muda amat dekat dengan internet, membaca blog setiap hari adalah rutin mereka tetapi BN tidak mempunyai blog yang benar-benar berwibawa menangkis pembangkang.

Sebaliknya pembangkang bukan sahaja mempunyai ribuan blog yang menyokong mereka, malah 'memiliki' media on line yang menyebelahi mereka.

Kita akui bahawa BN cuba melawan melalui internet tetapi ia tidak dilakukan secara bersungguh-sungguh, kalau pun wujud blog tersebut ia ibarat tempat melepaskan geram sahaja, lebih malang lagi ada sesetengah blog yang diketahui diasaskan oleh pemimpin UMNO bertindak 'membelasah' pemimpin UMNO sendiri.

Kesudahannya rakyat terutamanya generasi muda menjadi keliru dan membolehkan mereka menjadi yakin bahawa apa yang diperkatakan oleh pembangkang terhadap sesetengah pemimpin UMNO adalah betul.

Berdasarkan apa yang diperkatakan, ia jelas menunjukkan bahawa cabaran BN untuk menarik generasi muda mengundi mereka amat getir.

Saluran 4 dan 5 tidak harus menjadi seolah-olah 'satu virus' yang merosakkan keseluruhan sokongan yang diperolehi melalui saluran 1,2 dan 3.

BN tidak harus leka tentang ancaman ini kerana dalam pertemuan penulis dengan beberapa pemimpin kanan UMNO mereka pastinya akan mengeluh apabila ditanya apa peluang BN untuk menang di saluran 4 dan 5.

Ini satu masalah yang BN perlu tangani segera jika tidak mahu BN kecundang dalam pilihan raya akan datang, ikhlaslah mengakui bahawa semua sayap BN dan UMNO buat masa ini dianggap gagal meraih sokongan generasi muda tetapi belum terlambat untuk memperbaiki keadaan.

Friday, February 20, 2009

Ibrahim Ali Hempas Songkok Dan Berang Ketika Bahasa Pertahan Raja-Raja Melayu ..

Barangkali sudah fedup dengan sikap pemimpin pembangkang yang cakap tak serupa bikin, sentiasa menangguk di air keruh dan anggap diri mereka sahaja betul dan bersih, Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali 'meledak' di Dewan Rakyat, petang Khamis.

Ledakan perasaan beliau bukan sahaja meletuskan perang mulut dengan ahli parlimen pembangkang tetapi sebahagian besar daripada mereka termasuk Ketua Pembangkang angkat kaki kerana ada antara mereka panas telinga dan merah muka.

Masakan mereka tidak angkat punggung kerana Ibrahim ketika membahaskan usul Menjunjung Kasih Titah Yang diPertuan Agong menyindir dan membalun kaw-kaw anggota Parlimen yang bersikap hipokrit serta sanggup mempolitikkan masa depan anak bangsa untuk kepentingan sendiri.Pemimpin ini katanya tidak memperjuangkan apa yang sepatutnya mereka perjuangkan ketika berkuasa sebaliknya menghentam kerajaan apabila berada di luar kerajaan.

Ibrahim yang juga Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) menyifatkan pemimpin demikian adalah munafik kerana hanya bersetuju perkara yang menguntungkan mereka sahaja."Kenapa kita nak rosakkan semua orang dan kata kita saja yang betul, kita sahaja yang bersih sedangkan kita adalah pembohong besar,"

tegas beliau ketika Dewan masih sepi tanpa seorangpun ahli parlimen bangun mencelah atau minta laluan bercakap.Kekecohan mula tercetus apabila Ibrahim menggunakan perkataan 'bangsa asing' yang dikatakan tidak tahu menggunakan perkataan sesuai terhadap Raja-Raja Melayu.

Ahli Parlimen PKR Padang Serai N.Gobalakrishnan kemudian meminta beliau menarik balik perkataan bangsa asing itu kerana menyifatkan ia merujuk kepada bangsa yang ada di dalam negara ini selain ia kurang sopan.

Ibrahim bagaimanapun enggan menarik balik perkataan itu kerana ia merujuk kepada bangsa asing di luar negara menyebabkan Gobalakrishnan pula menuduh Ibrahim, munafik.Keadaan itu mencetuskan pertikaman lidah antara mereka berdua dengan Ibrahim antara lain kedengaran mengeluarkan perkataan 'bangsat' dan 'jangan kurang ajar'.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menenangkan keadaan tetapi tidak diendahkan oleh kedua-dua anggota Parlimen tersebut.Keadaan bertambah panas apabila kedua-dua mereka saling mempertahankan diri dan akhirnya kerana tidak tahan lagi, Gobalakrishnan keluar Dewan sambil menuturkan kata-kata yang tidak jelas didengar..

Menyedari beliau mengeluarkan kata-kata kasar, Ibrahim kemudian meminta maaf kepada Dr Wan Junaidi dan menarik balik semua perkataan yang tidak sesuai disebut.Katanya, Gobalakrishnan sengaja membuat provokasi terhadapnya tanpa mengikut peraturan, tidak menghormati Tuan Yang Dipertua...menuduh, menuding dan mengeluarkan katakata kesat sambil keluar dari Dewan.

Belumpun reda, Ahli Parlimen PAS Shah Alam, Khalid Samad pula masuk campur dan cuba bertikam lidah dengan Ibrahim malah satu ketika Ahli Parlimen Pasir Mas itu sudah membuka songkok dan menghempasnya ke atas seolah-olah geram kerana terus diganggu pembangkang ketika berbahas.Khalid cuba mempertikaikan sikap Ibrahim seolah-olah hanya beliau pemimpin yang memperjuangkan hak dan institusi Raja-Raja Melayu dan terus keluar Dewan.


Isu yang dibangkitkan Ibrahim itu bagaimanapun mendapat sokongan Ahli Parlimen kerajaan termasuk Kinabatangan Datuk Bung Moktar Radin dan Datuk Mohamed Aziz dari Sri Gading.Malah Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman turut bangga dengan ketegasan Ibrahim mempertahankan hak Raja-Raja Melayu di negara ini.

Mohamed Aziz berkata, Pasir Mas bercakap soal kedaulatan Raja-Raja Melayu dan semua pihak patut mendengar."Kenapa Padang Serai (Gobalakrshnan) nak marah. Apakah berdosa orang Melayu nak bela Raja-Raja?..Syabas Pasir Mas," katanya.

Ketika ini sebahagian besar ahli parlimen pembangkang termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim keluar Dewan.Ahli Parlimen Pasir Mas itu kemudian meneruskan perbahasan tanpa gangguan.Terdahulu, sebelum kekecohan itu Ibrahim berkata beliau tidak bersetuju dengan hasrat Pengerusi DAP Karpal Singh untuk menyaman Sultan Perak Sultan Azlan Shah dan menyifatkan tindakan itu sebagai tidak perlu.

Beliau juga menyelar Anwar kerana menuduh BN mengugut dan menculik wakil rakyat PKR di Perak yang sudah lompat jadi wakil rakyat Bebas."Mereka tak ingatkah mereka kejar Ahli Parlimen BN sampai ke Taiwan kerana mahu 30 orang lompat ikut mereka," kata Ibrahim.Menurut Ibrahim, kerana beliau wakil rakyat Bebas, pembangkang tidak kejarnya.

"Tapi kalau mereka dapat 29 orang, mereka kena kejar saya. Tapi bagi saya, ini boleh kalau dia (Anwar) jadi timbalan dan saya Perdana Menteri," katanya berseloroh. Apapun selepas selesai membahaskan usul berkenaan, Ibrahim menerima ucapan tahniah daripada beberapa penyokong kerajaan kerana ketegasannya di Dewan malah, 'chief' Parlimen, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz juga berkata kepada Ibrahim ,"Inilah wira,".- 19/2/2009

Wednesday, February 11, 2009

MALAYSIAKINI : MEMBANTAH PENDERHAKA RAJA DAN MENYOKONG RAJA-RAJA MELAYU- KJ

Pemuda Barisan Nasional (BN) dan gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) semalam, menganjurkan satu perhimpunan raksasa bagi menyatakan sokongan kepada Sultan Perak Shah atas pelantikan Menteri Besar Perak yang baru, perhimpunan raksasa tersebut diadakan di Padang Majlis Bandaran Ipoh di Jalan Sultan Abdul Jalil.
Hampir 5,000 rakyat pelbagai kaum turut menyertai perhimpunan raksasa tersebut, turut dihadiri oleh beberapa pemimpin Umno termasuk Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin, Ketua Pemuda Umno Perak Zainol Padzi Paharuddin dan Ketua Pemuda MIC G. Shamugavelu.
Selain ucapan daripada wakil parti komponen BN dan NGO, para hadirin turut melaungkan 'Daulat Tuanku'.
Mereka juga melaungkan desakan supaya tindakan sewajarnya diambil terhadap Pengerusi DAP Karpal Singh yang dilaporkan menyatakan hasratnya menyaman Sultan Azlan Shah.
Mereka turut mendesak bekas Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin supaya menghentikan segala tindak-tanduk menderhaka titah Sultan Perak.Menurut Naib ketua Pemuda Malaysia, YB Khairy Jamaluddin berkata, mereka yang hadir berkumpul di perhimpunan ini bukanlah dari satu bangsa atau satu kaum, tetapi ini ialah suara hati generasi muda yang diwakili oleh semua bangsa Melayu, Cina dan India bersama berhimpun menunjukan suara rakyat yang menjunjung kasih kepada DYMM Tuanku yang mahu supaya sistem raja berpelembagaan terpelihara di Malaysia.
Beliau juga menegaskan bahawa rakyat Malaysia sememangnya merasa kecewa dengan tindakan beberapa pihak yang menderhaka terhadap titah sultan dan juga arahan Sultan Perak dan dimana negara kita ialah negara yang berpelembagaan mempunyai kedaulatan undang-undang.
Khairy juga memohon menarik balik semua gelaran yang diberikan kepada penderhaka-penderhaka serta mengambil tindakan kepada pemimpin Pakatan Rakyat yang menghasut dan menghina institusi diRaja.Katanya lagi, kita memohon dari Sultan Perak agar mereka yang derhaka, (mengaku derhaka) ini dibuang dari Negeri Perak dan jangan berpijak lagi di bumi yang bertuah ini.

Thursday, February 5, 2009

BN KUASAI PERAK


Barisan Nasional (BN) peroleh majoriti mudah untuk ambil alih kerajaan negeri Perak ekoran empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan pakatan pembangkang meninggalkan parti masing-masing bagi menyokong BN.
ADUN Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi dan ADUN Changkat Jering, Kapten (B) Mohd. Osman Jailu daripada Parti Keadilan Rakyat serta ADUN Jelapang, Hee Yit Foong (DAP) menjadi wakil rakyat Bebas.
ADUN Bota, Datuk Nasaruddin Hashim yang baru-baru ini menyertai PKR, kembali semula kepada UMNO.
BN kini mempunyai 28 kerusi, pakatan pembangkang juga 28 kerusi dan Bebas tiga kerusi.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan menghadap Sultan Perak secepat mungkin untuk memaklumkan secara rasmi penubuhan kerajaan baru. Nama calon Menteri Besar akan diumumkan dalam masa terdekat.