Tuesday, February 24, 2009

Pemuda UMNO Bantu Kanak-Kanak Kanser

PULAU PINANG 23 Feb. - Atas dasar perikemanusiaan, pelbagai pihak tampil menghulurkan sumbangan bagi mengurangkan beban seorang pesakit kanser hati, Muhammad Amir Farhan, 9 tahun.

Antaranya, Pergerakan Pemuda UMNO Pulau Pinang yang mengambil inisiatif menyumbangkan kira-kira RM1,445 kepada bapa Muhammad Farhan, Md. Nizan Wan Chek, 37, pada satu majlis makan tengah hari di Restoran Pen Mutiara, Batu Maung di sini.

Ketua Pemuda UMNO Bayan Baru, Norman Zahalan berkata, pihaknya mengambil inisiatif mengutip derma di kalangan ahli bagi meringankan beban keluarga Farhan dalam menanggung perbelanjaan kos rawatan.

''Kami terpanggil untuk menghulurkan sumbangan kepada Farhan selepas membaca laporan akhbar baru-baru ini mengenai penderitaannya itu. Lagipun mereka bukan daripada keluarga senang.

''Ini adalah sebahagian daripada kerja amal Pemuda untuk mendekati masyarakat. Kami harap ada ramai pemimpin lain tampil memberi sumbangan kepada keluarga Farhan bagi membiayai kos perubatannya," katanya di sini hari ini.

Akhbar kelmarin melaporkan Farhan yang dulu sihat kini semakin kurus dan perutnya semakin membesar selain kaki dan tangannya mula membengkak mengakibatkan dia tidak mampu untuk berdiri.

Penyakit kanser hati itu mulai dikesan sejak empat bulan lalu apabila Muhammad Amir mengadu batuk selama seminggu sebelum dibawa ke klinik dan didapati paru-parunya berair.
Dalam pada itu, Md. Nizan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menghulurkan sumbangan bagi mengurangkan kos rawatan anak bongsunya itu.

Katanya, pendapatan keluarganya memang tidak cukup untuk menampung kesemua perbelanjaan rawatan Farhan memandangkan kos rawatan homeopatinya sahaja mencecah hampir RM1,000 sebulan.

''Saya berharap kami dapat mengumpul dana secukupnya sebelum dapat membawa Farhan untuk menerima rawatan lanjut di hospital swasta pula,'' katanya.
Menurutnya, orang ramai yang bersimpati dan mahu menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian dengan memasukkan wang ke dalam akaun bank CIMB isterinya, Siti Hamra Sidik. (nombor akaun 0714-0162728-52-8).

No comments: