Wednesday, July 8, 2009

Pusat digesa elak masuk 'jerat'

UTUSAN:
PULAU PINANG 7 Julai - Kerajaan Pusat perlu mengelak daripada terjebak dalam isu Kampung Buah Pala di sini kerana ia umpama menjerat diri.
Ketua Pemuda UMNO negeri, Norman Zahalan berkata, pihaknya bimbang sekiranya Kerajaan Pusat campur tangan ia akan dipersalahkan apabila timbul sebarang masalah pada kemudian hari.
Katanya, menuding jari dan menyalahkan pihak lain termasuk kerajaan negeri sebelum ini yang diterajui Barisan Nasional (BN) jika timbul sebarang masalah membabitkan rakyat adalah perbuatan yang sinonim dengan Ketua Menteri, Lim Guan Eng.
"Kita bimbang nanti kalau timbul sebarang masalah, kerajaan negeri akan menyalahkan kerajaan BN," katanya ketika dihubungi hari ini.
Norman juga berkata, BN sering menjadi sasaran kecaman pakatan pembangkang namun apabila buntu dalam menyelesaikan masalah rakyat mereka mencari BN.
"Dulu kata BN macam-macam, tapi akhirnya cari Kerajaan Pusat juga, nampak sangat macam tidak boleh berdikari, sepatutnya masalah tersebut diselesaikan oleh kerajaan negeri kerana perkara berkaitan tanah di bawah bidang kuasa mereka," katanya.
Menurutnya, sikap lepas tangan kerajaan negeri dalam menyelesaikan masalah Kampung Buah Pala amat mengecewakan rakyat yang menaruh harapan tinggi terhadap Guan Eng.
Ketua Menteri itu kini berdepan tuntutan 23 keluarga miskin di kampung berkenaan yang mahu kampung halaman mereka diselamatkan daripada projek pembangunan seperti dijanjikan para pemimpin tertinggi pakatan pembangkang ketika berkempen pada pilihan raya umum lalu.
Namun selepas berkuasa di negeri ini Guan Eng memberi alasan kerajaan negeri tidak berupaya berbuat demikian kerana kekangan kewangan sebaliknya meminta Kerajaan Pusat pula membeli semula tanah kampung berkenaan.

No comments: