Wednesday, December 23, 2009

Pemuda BN Sepakat Hentikan Perdebatan Isu Pengerusi BN Pulau Pinang

Pulau Pinang -- Pemuda Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang sebulat suara membuat keputusan untuk menghentikan perdebatan berkenaan isu jawatan Pengerusi BN negeri.
Bendahari Pemuda UMNO negeri, Aziaan Ariffin berkata keputusan itu dicapai dalam satu pertemuan di antara komponen Pemuda BN di sini, Selasa.
Jelasnya isu isu jawatan Pengerusi BN negeri yang hangat diperdebatkan di antara pemimpin parti komponen perlu dihentikan serta merta.
"Keputusan sebulat suara itu dicapai selepas perbincangan hampir dua jam di antara pemimpin pemuda BN.
"Perjumpaan itu dibuat bagi mencari satu jalan penyelesaian berhubung beberapa perkara berbangkit yang berlaku dalam BN negeri.
"Kami setuju dengan nasihat Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya isu Pengerusi BN dihentikan kerana pertelingkahan terbuka tidak akan membawa sebarang keuntungan kepada negara dan rakyat", katanya kepada laman webPemuda di sini, hari ini.
Pertemuan Pemuda BN itu disertai Ketua Pemuda Gerakan negeri, Oh Tong Keong, Ketua Pemuda PPP negeri M Manikumar dan Ketua Pemuda MIC negeri, J.Dhinagaran.
Aziaan yang juga Ketua Pemuda UMNO Balik Pulau seterusnya berkata selepas ini apa jua yang berlaku atau sebarang masalah berbangkit yang timbul antara parti komponen BN negeri akan dibincangkan serta diselesaikan secara dalaman.
"Kami sebulat suara bersetuju untuk tidak lagi berdebat mengenai isu Pengerusi BN negeri serta isu-isu lain secara terbuka," ujarnya.

Tuesday, December 22, 2009

Elak debat isu Pengerusi BN P. Pinang

utusan:


PUTRAJAYA 21 Dis. - Datuk Seri Najib Tun Razak mahu sebarang perdebatan mengenai siapa yang layak menerajui Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang dihentikan.Perdana Menteri menegaskan, isu itu seharusnya tidak berlanjutan.
"Jangan debat lagi tentang perkara ini," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Aeroangkasa Malaysia Keenam di sini hari ini.
Jumaat lalu, Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang meminta jawatan Pengerusi BN yang diperuntukkan kepada Gerakan diserah kepada parti itu memandangkan parti komponen lain di negeri itu tidak memenangi sebarang kerusi pada pilihan raya umum lalu.
Bagaimanapun, Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon menolak permintaan berkenaan dengan alasan jawatan itu disandang oleh pemimpin Gerakan selama 35 tahun dan tidak perlu dibangkitkan lagi.

Monday, December 21, 2009

Gerakan tidak buat kerja

UTUSAN:
Ada macam-macam pendapat tetapi apa-apa hal, kita terima dulu pendapat mereka. Saya sebagai Pengerusi BN akan bincang dengan semua pihak. Keputusannya nanti adalah atas semangat permuafakatan BN
Soalnya dia (Gerakan) tak ada program, selepas kalah pilihan raya dulu tak ada buat apa-apa, itu yang Ketua UMNO Pulau Pinang rasakan kalau Gerakan tak buat kerja, biar UMNO buat kerja
Koh Tsu Koon kata Gerakan memegang jawatan itu lebih 35 tahun tetapi apa telah terjadi selepas itu adalah mereka hilang semua kerusi, justeru, beri peluang kepada UMNO pula
KUALA LANGAT 20 Dis – UMNO Pulau Pinang menuntut jawatan Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri itu memandangkan Gerakan tidak mengadakan program menarik semula sokongan rakyat selepas kalah pada pilihan raya umum lalu.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tuntutan itu telah lama dibuat tetapi baru diumumkan semalam setelah pihaknya mendapati Gerakan masih tidak melakukan apa-apa program sepatutnya.
Menurut beliau, sekiranya Gerakan meneruskan program yang baik untuk BN di Pulau Pinang, beliau berpendapat UMNO sendiri boleh membantu.
“Soalnya dia tak ada program, selepas kalah pilihan raya dulu tak ada buat apa-apa, itu yang Ketua UMNO Pulau Pinang rasakan kalau Gerakan tak buat kerja, biar UMNO buat kerja.
“Jadi soal Tsu Koon (Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon) mahu lepas atau kekalkan jawatan, itu soal dia. Kita hanya minta, pelantikan Pengerusi BN negeri kuasa mutlak Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya kepada pemberita selepas melawat limbungan NGV Tech di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Tsu Koon yang menolak permintaan pemimpin UMNO negeri supaya jawatan Pengerusi BN yang kini dipegang oleh Gerakan diserahkan kepada UMNO.
Tsu Koon yang juga Pengerusi BN Pulau Pinang memberi alasan jawatan itu disandang oleh pemimpin Gerakan selama lebih 35 tahun dan tidak perlu dibangkitkan kerana apa juga perubahan tidak akan dipersetujui Gerakan.
Mengulas isu sama, Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan menjelaskan, tuntutan itu bukan bertujuan merampas kuasa tetapi hanya mahu memastikan Pulau Pinang ditadbir secara politik dengan baik dan rakyat menerima semula BN sebagai pemerintah.
“Kami mahu bantu BN ambil alih semula Pulau Pinang dari pakatan pembangkang, itu sahaja. Kami tak main politik dalam perkara ini, kalau Gerakan bagus kenapa tidak ada kerusi menang di Pulau Pinang.
“Jadi jangan terasa hati dalam perkara ini seolah-olah ia pengambil alihan kuasa,” katanya.
Beliau menafikan bahawa tindakan Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang itu menampakkan perpecahan dalam BN kerana ia hanya suatu permintaan untuk kebaikan semua pihak.
“Kita minta sahaja, kenapa pula pecah? Isu ini sudah dikemukakan kepada Pengerusi BN, kalau beliau rasa itu sesuatu yang boleh kuatkan BN saya fikir beliau akan lakukan,” jelasnya.
Semalam, mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang memutuskan menuntut jawatan Pengerusi BN negeri diserahkan kepada parti itu.
Ahmad Zahid berkata, ia sejajar usaha memantapkan kedudukan BN Pulau Pinang dan bukannya mempunyai agenda tertentu.

Tuntutan UMNO Pulau Pinang akan dirunding dengan semua pihak - Najib

SHAH ALAM 20 Dis. - Permintaan UMNO Pulau Pinang agar jawatan Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri yang kini dipegang oleh Gerakan diserahkan kepada parti itu, akan dirundingkan dengan semua pihak.
Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sebarang keputusan yang diambil kelak akan mengambil kira semangat permuafakatan BN.
''Ada macam-macam pendapat tetapi apa-apa hal, kita terima dulu pendapat mereka. Saya sebagai Pengerusi BN akan bincang dengan semua pihak.
''Keputusannya nanti adalah atas semangat permuafakatan BN," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Karnival Ikatan Hati Warga Felda (Iktiraf) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas permintaan Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang agar jawatan Pengerusi BN yang diperuntukkan kepada Gerakan diserah kepada parti itu memandangkan parti komponen BN lain di negeri itu tidak memenangi sebarang kerusi pada pilihan raya umum lalu.
Cadangan itu diputuskan pada mesyuarat UMNO negeri yang dipengerusikan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Georgetown, Pulau Pinang Jumaat lalu.
Bagaimanapun, Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon menolak permintaan pemimpin UMNO negeri dengan alasan jawatan itu telah disandang oleh para pemimpin Gerakan selama lebih 35 tahun dan tidak perlu dibangkitkan lagi.
Ditanya mengenai reaksi Tsu Koon itu, Najib berkata ringkas:''Tak apalah..biasalah tu. Kita akan bincang,"

Monday, December 14, 2009

Masih adakah Ketuanan Malayu - Ridhuan Tee

:Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah

Ingatan demi ingatan telah saya ajukan akan bahayanya golongan ultra kiasu, tetapi kita terus memberi muka. Sedangkan mereka tidak pernah serik dan mengambil pengajaran. Sejak dahulu lagi ultra kiasu ini membangkitkan isu-isu sensitif dan menentang apa juga perkara yang menyebelahi bangsa Melayu dan Islam di bumi Melayu ini walaupun hak-hak ini dijamin dalam perlembagaan. Pada mereka, semua rakyat Malaysia mesti berpegang kepada formula sama rata dan sama rasa atau fair and square atau Malaysian Malaysia. Mereka tidak mahu langsung melihat perkara-perkara yang berkaitan dengan kelebihan Melayu Islam seperti mahukan bahasa Melayu ditukar kepada bahasa Malaysia, negara Islam kepada negara sekular, ketuanan Melayu kepada ketuanan rakyat dan sebagainya. Apakah ultra kiasu akan bersetuju dengan ketuanan Islam yang diperjuangkan oleh rakan sekutunya PAS? Mungkin PAS boleh bertanya ultra kiasu itu yang menjadi rakan baiknya.


Penggunaan istilah ketuanan Melayu tidak langsung menggambarkan hubungan antara ‘tuan’ dengan ‘hamba’ sebagaimana yang didakwa oleh kumpulan ultra kiasu. Jika orang bukan Melayu itu hamba, masakan penguasaan ekonomi bukan Melayu begitu jauh meninggalkan orang Melayu Islam. Lihat sahaja senarai 10 jutawan terkaya di negara ini. Siapakah mereka? Jika ada ketuanan Melayu sudah pasti akan ada beberapa muka-muka Melayu. Jika orang Melayu itu tuan, sudah tentu mereka akan menyekat ‘hamba-hamba’ ini untuk berjaya, tetapi adakah ia sebenarnya berlaku?


Inilah bahaya bila ada sifat kiasu yang terlalu ultra? Kini mereka begitu berani mempertikaikan peruntukan atau dana-dana yang disediakan untuk pembangunan Islam oleh kerajaan termasuk pembinaan dan pembiayaan masjid, yang berkaitan dengan ketuanan Melayu dan Islam. Malah dana zakat turut mahu diambil. Saya terlalu ingin melihat apakah respon Tok Guru dan PAS terhadap kenyataan amat biadab ini.


Sebenarnya isu ketuanan Melayu dan Islam dibangkitkan semula untuk menagih simpati dan sentimen orang bukan Melayu agar tidak lupa menyokong mereka. Mereka mahu pastikan agar penyokong-penyokong parti ultra kiasu ini sentiasa berjaga-jaga dan dikejutkan agar tidak leka. Sama juga dengan apa yang dilakukan oleh kerajaan Singapura yang begitu agresif dengan kempen-kempen dan ingatan kepada rakyat mereka agar sentiasa berhati-hati dengan musuh yang sebenar iaitu negara-negara di sekelilingnya seperti Malaysia dan Indonesia. Parti ultra kiasu faham benar akan taktik ini kerana mereka adalah daripada kumpulan yang sama di sana.Dapatan kajian saya menunjukkan bahawa, golongan ultra kiasu ini memang telah berjaya menanamkan pemikiran bangsanya agar menolak ketuanan Melayu dan Islam secara total.


Ketuanan Melayu sengaja diperbesar-besarkan dengan dikaitkan hubungan antara tuan dan hamba.Sebagai pengkaji politik, saya amat yakin golongan ultra kiasu ini amat faham maksud ketuanan Melayu tersebut bukanlah seperti yang digembar-gemburkan. Saya bukanlah menyokong ketuanan Melayu, tetapi saya faham sangat akan maksud ketuanan Melayu secara tersurat dan tersirat. Saya celik sejarah dan tidak memutar-belitkannya demi mencapai cita-cita politik rakus.


Saya begitu bersyukur dilahirkan di bumi bertuah ini, begitu juga dengan nenek moyang saya.Ketuanan Melayu hanya satu istilah untuk menunjukkan bahawa orang Melayu adalah bangsa asal negara ini, selain orang asli. Atas kefahaman ini, maka saya dapat menerima istilah ini tanpa prejudis, apatah lagi untuk mempertikaikan bahawa orang Melayu juga adalah pendatang, berasal dari Yunan dan Indonesia. Inilah hujah-hujah yang selalu digunakan oleh kumpulan ultra kiasu ini, termasuk segelintir mereka yang berada dalam komponen BN seperti MCA dan Gerakan.


Sebenarnya pengikut ultra kiasu ini adalah ramai, mereka tidak bersendirian. Bekas Presiden Gerakan adalah antaranya yang begitu lantang mengkritik ketuanan Melayu ini. Apakah mungkin kita tidak perasan dengan taktik mereka? Pusat mereka berada di Pulau, jangan kita lupa, cukuplah terlepas dua pulau.Persoalan seterusnya, apakah orang Cina atau India tidak mempunyai semangat ketuanan Cina atau ketuanan India? Janganlah tipu, ia cuma tidak dilaungkan sahaja.


Ketuanan mereka itu sudah jelas terpancar ketika mereka mempertahankan hak-hak mereka secara ekstrim yang telah diperolehi. Ketuanan inilah yang menyatukan mereka.Apakah tuntutan dan desakan yang dikemukakan selama ini tidak melambangkan ketuanan bangsa?Sekurang-kurangnya orang Melayu yang melaungkan ketuanan Melayu itu berterus-terang, membuka ruang kepada pandangan dan kritikan. Berbeza dengan ultra kiasu, lantang mengkritik, tapi bekerja senyap-senyap, sedar-sedar dah jadi.


Mula-mula ditutup-tutup, bila tiba-tiba dibuka, masyaAllah, besarnya patung yang didirikan. Licik sungguh strategi mereka. Umat Islam bila lagi? Takkan asyik berterus-terang. Jika kerja berjalan boleh tahan juga, tetapi cakap banyak, kerja tidak berjalan.Lihat strategi mereka, ketuanan Melayu dipertikaikan diikuti selepas itu dengan mempersoalkan penggunaan dana kerajaan terhadap perkembangan syiar Islam seperti pembinaan masjid.


Persoalan saya, apakah kerajaan negeri dan persekutuan tidak membantu pembinaan rumah ibadat bukan Islam? Jangan asyik menyatakan orang, tanpa mensyukuri toleransi yang berlaku. Inilah belang ultra kiasu yang sebenar, pepat di luar rencong di dalam.Lihatlah bagaimana bersatunya mereka ketika pembukaan rasmi bangunan Kek Lok Si dan patung Kuan Yin yang begitu besar di negeri ultra kiasu baru-baru ini.


Ini tidak termasuk pandangan di Batu Caves. Wajarkah ia dibina dalam sebuah negara Islam sehingga menenggelamkan kedudukan bangsa dan agama Islam sebagai bangsa majoriti dan agama persekutuan? Adakah kebebasan ini diberikan kepada umat Islam di negeri China dan India mahupun Switzerland? Alangkah sedihnya melihat masjid Babri yang dimusnah dan diganti dengan kuil Hindu.


Tidak ramai orang Islam yang membantah. Inilah sifat yang amat saya puji, walaupun dalam hati amat berat untuk menerima. Sifat sebegini jarang dapat dilihat pada orang lain. Banyak yang telah dapat, tetapi tidak pernah puas itulah ultra. Strategi mereka sekarang, tuntut semaksima mungkin, tak dapat banyak, kerajaan bagi sedikit. Sedikit itu kemenangan besar.Kalau tidak percaya, tanyalah ketua-ketua parti komponen BN. Adakah selama ini mereka tidak dapat apa yang dituntut. Adakah rumah ibadat mereka tidak dibantu kerajaan? Jangan tanya kepada parti ultra kiasu kerana mereka tidak pernah puas selagi kuasa tidak berada di tangan mereka sepenuhnya.


Mereka bercita-cita mahu menjadi perdana menteri atau timbalan perdana menteri. Pernahkah kita bertanya kepada orang Melayu Islam, sakitkah hati mereka melihat patung-patung yang begitu besar dan tinggi, yang terang-terang bercanggah dengan fitrah agamanya atau setiap kali lalu di tempat-tempat tersebut? Kita tidak pernah bertanya bukan? Kita hanya marah dalam hati kerana kita mahu menjaga hati orang lain dan hak bukan Islam.Pernahkah orang Islam melarang pembinaan patung sebesar itu dalam sebuah negara Islam yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi.


Kalau adapun sedikit sangat. Apakah hak bukan Islam dinafikan walaupun ketuanan Melayu dilaungkan?Apakah Lee Kuan Yew tidak menegakkan ketuanan Cina di Singapura? Terangkatkah ketuanan Melayu di negeri Melayu Singapura? Orang Melayu tidak mendapat tempat di sana berbanding orang India yang lebih sedikit bilangannya. Kalau dulu Yusuf Ishak boleh menjadi presiden, selepas beliau, nama Melayu sudah tidak muncul lagi. Bila orang Melayu yang mengkritik ketuanan Cina di Singapura, mereka akan dibuang jauh-jauh.



Pernahkah kerajaan hari ini membuang kumpulan ultra kiasu ke luar negara walaupun ia amat lantang mengkritik orang Melayu, Islam dan raja-raja Melayu? Saya fikir orang Melayu lebih mempercayai bukan Melayu daripada bukan Melayu mempercayai Melayu.Orang Melayu (Islam) tidak pernah campurtangan dalam urusan orang bukan Islam, tetapi kenapa dan mengatakan orang bukan Islam begitu kurang ajar mencampuri setiap perkara sesuatu yang berkaitan dengan agama Islam?


Fikirkanlah isu-isu seperti pemelukan agama Islam, murtad, kedudukan mahkamah syariah, kedudukan Islam dan keistimewaannya dalam perlembagaan dan sebagainya.Toleransi ini tidak pernah dihargai oleh kumpulan ultra kiasu ini. Tidak pernah puas dan bersyukur. Bila kita tanya toleransi tidak pernah berlaku di negara lain, kenapa tidak menghargai? Maka mereka menjawab, inilah keunikan yang perlu ditonjolkan di Malaysia.


Licik juga strategik dan taktik mereka, bila kena pada kita, mereka kata inilah keunikan Malaysia dan semangat 1Malaysia, tetapi bila kena pada mereka, maka jawapannya tidak adil, bukan Melayu dipinggirkan dan didiskriminasikan dan berbagai-bagai tohmahan lagi. Selain daripada kumpulan ultra kiasu ini, mungkin kita boleh melihat pakatan jahat mereka dengan majlis peguam dan persatuan-persatuan agama-agama bukan Islam.


Adalah amat tidak logik apabila melihat bilangan rumah ibadat orang bukan Islam yang hanya berjumlah 45 peratus, melebihi berkali ganda bilangan masjid dan surau di dalam sebuah negara Islam yang meletakkan Islam sebagai agama persekutuan, yang bilangannya melebihi 55 peratus.Puak ultra kiasu ini memang tidak pernah bersyukur. Taktik mereka menentang sekeras-kerasnya tanpa kompromi. Mereka tahu mereka tidak keseorangan. Sokongan ke atas mereka amat jitu dan padu. Kita jangan terlalu bersangka baik walaupun ia sifat yang amat mulia. Terlalu bersangka baiklah maka hari ini kepala kita bukan sahaja dipijak-pijak malahan, mereka sudah hampir sampai ke tahap untuk menguasai kita. Bayangkan jika benar-benar mereka berpakat dengan negara kecil yang begitu kuat di selatan Johor itu?


Saya mahu mengajak kita semua berfikir sebentar, apakah dengan laungan ketuanan Melayu itu, benar-benar Melayu dan Islam telah menjadi tuan? Apa yang saya tahu semakin kuat kita melaungkan ketuanan Melayu semakin banyak tanah rezab Melayu yang telah tergadai kepada bukan Melayu? Kedudukan bahasa Melayu dan agama Islam semakin terancam.Kadangkala ternyata-tanya pada diri sendiri, apakah dengan mendapat potongan lima peratus untuk membeli sebuah rumah dan kewujudan MARA sudah cukup melambangkan itulah hak istimewa orang Melayu? Jika itulah yang melambang ketuanan Melayu, alangkah hinanya kita.


Ketuanan Melayu yang sebenar adalah apa juga yang berkaitan dengan Melayu selaku bangsa majoriti termasuk bahasa, agama dan cara hidupnya akan mendominasi suasana negara ini. Tetapi adakah ini berlaku?Lihat saya kedudukan media cetak dan media elektronik di negara kita. Adakah bahasa Melayu yang mendominasinya? Jawapan mudah, tidak. Kalau ada pun media Melayu, ia hanya dibaca atau ditonton oleh Melayu sahaja. Saya tidak fikir ada orang bukan Melayu yang akan membaca dan menonton media Melayu. Kecuali kumpulan ultra kiasu. Itupun mereka hanya berminat untuk mengorek rahsia dan membaca psikologi orang Melayu. Jika tidak, mereka tidak akan ada hati juga untuk melihat dan membacanya.


Apakah dengan laungan ketuanan Melayu kemudahan orang Cina (India) untu berniaga semakin berkurang? Sekolah Cina atau Tamil semakin berkurang? Rumah ibadat orang Cina, India semakin berkurang? Hak-hak bukan Melayu semakin dinafikan? Tulisan jawi semakin berpengaruh? Wujudkah sekolah Melayu berbanding sekolah Cina dan India? Masih adakah ketuanan Melayu? Justeru, rugikah orang Cina, India jika UMNO terus melaungkan ketuanan Melayu atau hidup Melayu atau ia sekadar mahu mengingatkan orang Melayu supaya tidak mudah lupa diri di tanah air sendiri dan mara untuk terus berjuang.


Jika nama Tanah Melayu kekal tanpa di tukar kepada Malaysia, saya tidak nampak relevannya ketuanan melayu. Seperti mana nama negeri China dan India. Mereka tidak perlu sebut ketuanan China atau ketuanan India sebab nama negara mereka sudah mencerminkan ketuanan mereka. Maka tidak hairanlah orang Islam merempat hidupnya di bumi mereka. Masjid dirampas menjadi kuil. Apakah orang Islam hidup senang lenang di negara bukan Islam berbanding orang bukan Islam hidup dalam negara Islam seperti Malaysia.


Sedarkah puak-puak ultra kiasu?Saya cukup bimbang laungan ketuanan Melayu hanya tinggal sebagai laungan sahaja seperti mana nama-nama Melayu yang semakin hilang seperti Keretapi Tanah Melayu menjadi KTM. Perancangan yang sungguh licik. Kita asyik mengalah. Bila diugut, maka kita akan tunduk kepada desakan dan tuntutan mereka.Apa yang jelas sinergi ultra kiasu semakin mantap, manakala sinergi kita semakin merosot, yang tinggal hanya laungan dan slogan yang tidak dapat dipertahankan.


Gagasan 1Malaysia tidak lagi dilihat sebagai gagasan untuk memperkasa masa hadapan tetapi untuk menuntut apa yang belum dapat dan menambah apa yang telah dapat! Sampai bilakah kita mampu terus bertahan? Apakah sinergi orang Melayu (Islam) semakin pupus di bumi Melayu? Tidakkah kita perlu kembalikan semula sinergi yang semakin hilang?


Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia. Setiausaha Agong, Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Tulisan ini adalah pendapat peribadi beliau

Tuesday, December 1, 2009

IsuDAP: Pemuda BN Ketuai Bantahan Rakyat, Selar Putar Belit Kerajaan Pulau Pinang

Pulau Pinang -- Bosan dengan sikap kerajaan negeri terutama Ketua Menteri, Lim Guan Eng hampir 500 Pemuda Barisan Nasional (BN) bersama masyarakat pelbagai kaum di negeri itu hari ini berkumpul di depan bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang mengadakan bantahan.
Tindakan itu dilakukan berikutan kegagalan kerajaan negeri membela nasib rakyat serta pelbagai pembohongan yang dilakukan Ketua Menteri, Lim Guan Eng sepanjang hampir dua tahun menerajui negeri itu.
Pengerusi Pemuda BN Pulau Pinang, Norman Zahalan berkata tindakan tersebut yang disertai kesemua komponen BN termasuk penduduk pelbagai kaum di negeri itu dilakukan sebagai membantah pembohongan demi pembohongan dan sikap dolak dalih pentadbiran kerajaan negeri terhadap rakyat di negeri itu.
"Rakyat pilih mereka dengan harapan mereka membela nasib rakyat seperti mana yang mereka laungkan semasa pilihanraya umum lalu.
"Malangnya setelah hampir dua tahun memerintah mereka hanya bermain politik dan mengabaikan rakyat. Malah Ketua Menteri, Lim Guan Eng juga banyak melakukan pembohongan", katanya kepada laman webPemuda di sini, hari ini.
Jelas beliau lagi apa yang dilakukan hari ini sebagai membawa luahan suara rakyat pelbagai kaum yang ternyata tidak berpuas hati terhadap apa yang telah dilakukan kerajaan negeri terutama kes Kampung Buah Pala, pembohongan status tanah dan sikap tidak telus pentadbiran negeri.
Beliau yang mengetuai bantahan tersebut selepas itu turut membuat satu laporan polis dan aduan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung tindak tanduk kerajaan negeri khususnya Ketua Menteri, Lim Guan Eng.
"Kita yakin gelombang kemarahan rakyat ini akan menjadi lebih besar selepas ini kerana rakyat semakin sedar mereka telah ditipu dengan pelbagai janji manis parti pembangkang sebelum ini yang kononnya berjiwa rakyat", ujarnya.

Bantah Guan Eng tidak cekap selesaikan masalah penduduk

KOSMO
GEORGE TOWN – Walaupun hari pertama Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini semalam berjalan lancar tetapi berlaku kekecohan di pekarangan bangunan DUN Pulau Pinang.
Kira-kira 150 penyokong Pemuda Barisan Nasional (BN) negeri diketuai oleh Ketua Pemuda UMNO negeri, Norman Zahalan berhimpun secara aman bersama beberapa sepanduk yang mengecam corak pentadbiran ‘lemah’ kerajaan negeri itu.
Laungan ‘kerajaan Pulau Pinang penipu’, ‘cakap tak serupa bikin’ dan ‘Guan Eng balik Melaka’ turut kedengaran sehingga menyebabkan lalu lintas sesak hampir setengah jam.
Bantahan secara aman selama sejam yang bermula pada pukul 12.15 tengah hari itu turut disertai Ketua Pemuda MIC negeri, J. Dhinagaran dan Ketua Pemuda Gerakan negeri, Ong Toh Keong.
Mereka membantah kegagalan kerajaan negeri pimpinan Lim Guan Eng yang didakwa tidak cekap dan gagal bertindak bijak menyelesaikan masalah rakyat serta tidak menunaikan janji pilihan raya umum 2008 lalu.
Pada masa yang sama, sekumpulan penduduk Kampung Buah Pala yang hadir diketuai pengerusi penduduknya, M. Sugumaran menyerahkan memorandum kepada Guan Eng yang diterima petugas bangunan DUN Pulau Pinang.