SHAH ALAM 20 Dis. - Permintaan UMNO Pulau Pinang agar jawatan Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri yang kini dipegang oleh Gerakan diserahkan kepada parti itu, akan dirundingkan dengan semua pihak.
Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sebarang keputusan yang diambil kelak akan mengambil kira semangat permuafakatan BN.
''Ada macam-macam pendapat tetapi apa-apa hal, kita terima dulu pendapat mereka. Saya sebagai Pengerusi BN akan bincang dengan semua pihak.
''Keputusannya nanti adalah atas semangat permuafakatan BN," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Karnival Ikatan Hati Warga Felda (Iktiraf) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas permintaan Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang agar jawatan Pengerusi BN yang diperuntukkan kepada Gerakan diserah kepada parti itu memandangkan parti komponen BN lain di negeri itu tidak memenangi sebarang kerusi pada pilihan raya umum lalu.
Cadangan itu diputuskan pada mesyuarat UMNO negeri yang dipengerusikan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Georgetown, Pulau Pinang Jumaat lalu.
Bagaimanapun, Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon menolak permintaan pemimpin UMNO negeri dengan alasan jawatan itu telah disandang oleh para pemimpin Gerakan selama lebih 35 tahun dan tidak perlu dibangkitkan lagi.
Ditanya mengenai reaksi Tsu Koon itu, Najib berkata ringkas:''Tak apalah..biasalah tu. Kita akan bincang,"
No comments:
Post a Comment