Wednesday, December 23, 2009

Pemuda BN Sepakat Hentikan Perdebatan Isu Pengerusi BN Pulau Pinang

Pulau Pinang -- Pemuda Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang sebulat suara membuat keputusan untuk menghentikan perdebatan berkenaan isu jawatan Pengerusi BN negeri.
Bendahari Pemuda UMNO negeri, Aziaan Ariffin berkata keputusan itu dicapai dalam satu pertemuan di antara komponen Pemuda BN di sini, Selasa.
Jelasnya isu isu jawatan Pengerusi BN negeri yang hangat diperdebatkan di antara pemimpin parti komponen perlu dihentikan serta merta.
"Keputusan sebulat suara itu dicapai selepas perbincangan hampir dua jam di antara pemimpin pemuda BN.
"Perjumpaan itu dibuat bagi mencari satu jalan penyelesaian berhubung beberapa perkara berbangkit yang berlaku dalam BN negeri.
"Kami setuju dengan nasihat Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya isu Pengerusi BN dihentikan kerana pertelingkahan terbuka tidak akan membawa sebarang keuntungan kepada negara dan rakyat", katanya kepada laman webPemuda di sini, hari ini.
Pertemuan Pemuda BN itu disertai Ketua Pemuda Gerakan negeri, Oh Tong Keong, Ketua Pemuda PPP negeri M Manikumar dan Ketua Pemuda MIC negeri, J.Dhinagaran.
Aziaan yang juga Ketua Pemuda UMNO Balik Pulau seterusnya berkata selepas ini apa jua yang berlaku atau sebarang masalah berbangkit yang timbul antara parti komponen BN negeri akan dibincangkan serta diselesaikan secara dalaman.
"Kami sebulat suara bersetuju untuk tidak lagi berdebat mengenai isu Pengerusi BN negeri serta isu-isu lain secara terbuka," ujarnya.

Tuesday, December 22, 2009

Elak debat isu Pengerusi BN P. Pinang

utusan:


PUTRAJAYA 21 Dis. - Datuk Seri Najib Tun Razak mahu sebarang perdebatan mengenai siapa yang layak menerajui Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang dihentikan.Perdana Menteri menegaskan, isu itu seharusnya tidak berlanjutan.
"Jangan debat lagi tentang perkara ini," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Aeroangkasa Malaysia Keenam di sini hari ini.
Jumaat lalu, Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang meminta jawatan Pengerusi BN yang diperuntukkan kepada Gerakan diserah kepada parti itu memandangkan parti komponen lain di negeri itu tidak memenangi sebarang kerusi pada pilihan raya umum lalu.
Bagaimanapun, Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon menolak permintaan berkenaan dengan alasan jawatan itu disandang oleh pemimpin Gerakan selama 35 tahun dan tidak perlu dibangkitkan lagi.

Monday, December 21, 2009

Gerakan tidak buat kerja

UTUSAN:
Ada macam-macam pendapat tetapi apa-apa hal, kita terima dulu pendapat mereka. Saya sebagai Pengerusi BN akan bincang dengan semua pihak. Keputusannya nanti adalah atas semangat permuafakatan BN
Soalnya dia (Gerakan) tak ada program, selepas kalah pilihan raya dulu tak ada buat apa-apa, itu yang Ketua UMNO Pulau Pinang rasakan kalau Gerakan tak buat kerja, biar UMNO buat kerja
Koh Tsu Koon kata Gerakan memegang jawatan itu lebih 35 tahun tetapi apa telah terjadi selepas itu adalah mereka hilang semua kerusi, justeru, beri peluang kepada UMNO pula
KUALA LANGAT 20 Dis – UMNO Pulau Pinang menuntut jawatan Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri itu memandangkan Gerakan tidak mengadakan program menarik semula sokongan rakyat selepas kalah pada pilihan raya umum lalu.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tuntutan itu telah lama dibuat tetapi baru diumumkan semalam setelah pihaknya mendapati Gerakan masih tidak melakukan apa-apa program sepatutnya.
Menurut beliau, sekiranya Gerakan meneruskan program yang baik untuk BN di Pulau Pinang, beliau berpendapat UMNO sendiri boleh membantu.
“Soalnya dia tak ada program, selepas kalah pilihan raya dulu tak ada buat apa-apa, itu yang Ketua UMNO Pulau Pinang rasakan kalau Gerakan tak buat kerja, biar UMNO buat kerja.
“Jadi soal Tsu Koon (Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon) mahu lepas atau kekalkan jawatan, itu soal dia. Kita hanya minta, pelantikan Pengerusi BN negeri kuasa mutlak Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya kepada pemberita selepas melawat limbungan NGV Tech di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Tsu Koon yang menolak permintaan pemimpin UMNO negeri supaya jawatan Pengerusi BN yang kini dipegang oleh Gerakan diserahkan kepada UMNO.
Tsu Koon yang juga Pengerusi BN Pulau Pinang memberi alasan jawatan itu disandang oleh pemimpin Gerakan selama lebih 35 tahun dan tidak perlu dibangkitkan kerana apa juga perubahan tidak akan dipersetujui Gerakan.
Mengulas isu sama, Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan menjelaskan, tuntutan itu bukan bertujuan merampas kuasa tetapi hanya mahu memastikan Pulau Pinang ditadbir secara politik dengan baik dan rakyat menerima semula BN sebagai pemerintah.
“Kami mahu bantu BN ambil alih semula Pulau Pinang dari pakatan pembangkang, itu sahaja. Kami tak main politik dalam perkara ini, kalau Gerakan bagus kenapa tidak ada kerusi menang di Pulau Pinang.
“Jadi jangan terasa hati dalam perkara ini seolah-olah ia pengambil alihan kuasa,” katanya.
Beliau menafikan bahawa tindakan Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang itu menampakkan perpecahan dalam BN kerana ia hanya suatu permintaan untuk kebaikan semua pihak.
“Kita minta sahaja, kenapa pula pecah? Isu ini sudah dikemukakan kepada Pengerusi BN, kalau beliau rasa itu sesuatu yang boleh kuatkan BN saya fikir beliau akan lakukan,” jelasnya.
Semalam, mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang memutuskan menuntut jawatan Pengerusi BN negeri diserahkan kepada parti itu.
Ahmad Zahid berkata, ia sejajar usaha memantapkan kedudukan BN Pulau Pinang dan bukannya mempunyai agenda tertentu.

Tuntutan UMNO Pulau Pinang akan dirunding dengan semua pihak - Najib

SHAH ALAM 20 Dis. - Permintaan UMNO Pulau Pinang agar jawatan Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri yang kini dipegang oleh Gerakan diserahkan kepada parti itu, akan dirundingkan dengan semua pihak.
Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sebarang keputusan yang diambil kelak akan mengambil kira semangat permuafakatan BN.
''Ada macam-macam pendapat tetapi apa-apa hal, kita terima dulu pendapat mereka. Saya sebagai Pengerusi BN akan bincang dengan semua pihak.
''Keputusannya nanti adalah atas semangat permuafakatan BN," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Karnival Ikatan Hati Warga Felda (Iktiraf) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas permintaan Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang agar jawatan Pengerusi BN yang diperuntukkan kepada Gerakan diserah kepada parti itu memandangkan parti komponen BN lain di negeri itu tidak memenangi sebarang kerusi pada pilihan raya umum lalu.
Cadangan itu diputuskan pada mesyuarat UMNO negeri yang dipengerusikan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Georgetown, Pulau Pinang Jumaat lalu.
Bagaimanapun, Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon menolak permintaan pemimpin UMNO negeri dengan alasan jawatan itu telah disandang oleh para pemimpin Gerakan selama lebih 35 tahun dan tidak perlu dibangkitkan lagi.
Ditanya mengenai reaksi Tsu Koon itu, Najib berkata ringkas:''Tak apalah..biasalah tu. Kita akan bincang,"

Monday, December 14, 2009

Masih adakah Ketuanan Malayu - Ridhuan Tee

:Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah

Ingatan demi ingatan telah saya ajukan akan bahayanya golongan ultra kiasu, tetapi kita terus memberi muka. Sedangkan mereka tidak pernah serik dan mengambil pengajaran. Sejak dahulu lagi ultra kiasu ini membangkitkan isu-isu sensitif dan menentang apa juga perkara yang menyebelahi bangsa Melayu dan Islam di bumi Melayu ini walaupun hak-hak ini dijamin dalam perlembagaan. Pada mereka, semua rakyat Malaysia mesti berpegang kepada formula sama rata dan sama rasa atau fair and square atau Malaysian Malaysia. Mereka tidak mahu langsung melihat perkara-perkara yang berkaitan dengan kelebihan Melayu Islam seperti mahukan bahasa Melayu ditukar kepada bahasa Malaysia, negara Islam kepada negara sekular, ketuanan Melayu kepada ketuanan rakyat dan sebagainya. Apakah ultra kiasu akan bersetuju dengan ketuanan Islam yang diperjuangkan oleh rakan sekutunya PAS? Mungkin PAS boleh bertanya ultra kiasu itu yang menjadi rakan baiknya.


Penggunaan istilah ketuanan Melayu tidak langsung menggambarkan hubungan antara ‘tuan’ dengan ‘hamba’ sebagaimana yang didakwa oleh kumpulan ultra kiasu. Jika orang bukan Melayu itu hamba, masakan penguasaan ekonomi bukan Melayu begitu jauh meninggalkan orang Melayu Islam. Lihat sahaja senarai 10 jutawan terkaya di negara ini. Siapakah mereka? Jika ada ketuanan Melayu sudah pasti akan ada beberapa muka-muka Melayu. Jika orang Melayu itu tuan, sudah tentu mereka akan menyekat ‘hamba-hamba’ ini untuk berjaya, tetapi adakah ia sebenarnya berlaku?


Inilah bahaya bila ada sifat kiasu yang terlalu ultra? Kini mereka begitu berani mempertikaikan peruntukan atau dana-dana yang disediakan untuk pembangunan Islam oleh kerajaan termasuk pembinaan dan pembiayaan masjid, yang berkaitan dengan ketuanan Melayu dan Islam. Malah dana zakat turut mahu diambil. Saya terlalu ingin melihat apakah respon Tok Guru dan PAS terhadap kenyataan amat biadab ini.


Sebenarnya isu ketuanan Melayu dan Islam dibangkitkan semula untuk menagih simpati dan sentimen orang bukan Melayu agar tidak lupa menyokong mereka. Mereka mahu pastikan agar penyokong-penyokong parti ultra kiasu ini sentiasa berjaga-jaga dan dikejutkan agar tidak leka. Sama juga dengan apa yang dilakukan oleh kerajaan Singapura yang begitu agresif dengan kempen-kempen dan ingatan kepada rakyat mereka agar sentiasa berhati-hati dengan musuh yang sebenar iaitu negara-negara di sekelilingnya seperti Malaysia dan Indonesia. Parti ultra kiasu faham benar akan taktik ini kerana mereka adalah daripada kumpulan yang sama di sana.Dapatan kajian saya menunjukkan bahawa, golongan ultra kiasu ini memang telah berjaya menanamkan pemikiran bangsanya agar menolak ketuanan Melayu dan Islam secara total.


Ketuanan Melayu sengaja diperbesar-besarkan dengan dikaitkan hubungan antara tuan dan hamba.Sebagai pengkaji politik, saya amat yakin golongan ultra kiasu ini amat faham maksud ketuanan Melayu tersebut bukanlah seperti yang digembar-gemburkan. Saya bukanlah menyokong ketuanan Melayu, tetapi saya faham sangat akan maksud ketuanan Melayu secara tersurat dan tersirat. Saya celik sejarah dan tidak memutar-belitkannya demi mencapai cita-cita politik rakus.


Saya begitu bersyukur dilahirkan di bumi bertuah ini, begitu juga dengan nenek moyang saya.Ketuanan Melayu hanya satu istilah untuk menunjukkan bahawa orang Melayu adalah bangsa asal negara ini, selain orang asli. Atas kefahaman ini, maka saya dapat menerima istilah ini tanpa prejudis, apatah lagi untuk mempertikaikan bahawa orang Melayu juga adalah pendatang, berasal dari Yunan dan Indonesia. Inilah hujah-hujah yang selalu digunakan oleh kumpulan ultra kiasu ini, termasuk segelintir mereka yang berada dalam komponen BN seperti MCA dan Gerakan.


Sebenarnya pengikut ultra kiasu ini adalah ramai, mereka tidak bersendirian. Bekas Presiden Gerakan adalah antaranya yang begitu lantang mengkritik ketuanan Melayu ini. Apakah mungkin kita tidak perasan dengan taktik mereka? Pusat mereka berada di Pulau, jangan kita lupa, cukuplah terlepas dua pulau.Persoalan seterusnya, apakah orang Cina atau India tidak mempunyai semangat ketuanan Cina atau ketuanan India? Janganlah tipu, ia cuma tidak dilaungkan sahaja.


Ketuanan mereka itu sudah jelas terpancar ketika mereka mempertahankan hak-hak mereka secara ekstrim yang telah diperolehi. Ketuanan inilah yang menyatukan mereka.Apakah tuntutan dan desakan yang dikemukakan selama ini tidak melambangkan ketuanan bangsa?Sekurang-kurangnya orang Melayu yang melaungkan ketuanan Melayu itu berterus-terang, membuka ruang kepada pandangan dan kritikan. Berbeza dengan ultra kiasu, lantang mengkritik, tapi bekerja senyap-senyap, sedar-sedar dah jadi.


Mula-mula ditutup-tutup, bila tiba-tiba dibuka, masyaAllah, besarnya patung yang didirikan. Licik sungguh strategi mereka. Umat Islam bila lagi? Takkan asyik berterus-terang. Jika kerja berjalan boleh tahan juga, tetapi cakap banyak, kerja tidak berjalan.Lihat strategi mereka, ketuanan Melayu dipertikaikan diikuti selepas itu dengan mempersoalkan penggunaan dana kerajaan terhadap perkembangan syiar Islam seperti pembinaan masjid.


Persoalan saya, apakah kerajaan negeri dan persekutuan tidak membantu pembinaan rumah ibadat bukan Islam? Jangan asyik menyatakan orang, tanpa mensyukuri toleransi yang berlaku. Inilah belang ultra kiasu yang sebenar, pepat di luar rencong di dalam.Lihatlah bagaimana bersatunya mereka ketika pembukaan rasmi bangunan Kek Lok Si dan patung Kuan Yin yang begitu besar di negeri ultra kiasu baru-baru ini.


Ini tidak termasuk pandangan di Batu Caves. Wajarkah ia dibina dalam sebuah negara Islam sehingga menenggelamkan kedudukan bangsa dan agama Islam sebagai bangsa majoriti dan agama persekutuan? Adakah kebebasan ini diberikan kepada umat Islam di negeri China dan India mahupun Switzerland? Alangkah sedihnya melihat masjid Babri yang dimusnah dan diganti dengan kuil Hindu.


Tidak ramai orang Islam yang membantah. Inilah sifat yang amat saya puji, walaupun dalam hati amat berat untuk menerima. Sifat sebegini jarang dapat dilihat pada orang lain. Banyak yang telah dapat, tetapi tidak pernah puas itulah ultra. Strategi mereka sekarang, tuntut semaksima mungkin, tak dapat banyak, kerajaan bagi sedikit. Sedikit itu kemenangan besar.Kalau tidak percaya, tanyalah ketua-ketua parti komponen BN. Adakah selama ini mereka tidak dapat apa yang dituntut. Adakah rumah ibadat mereka tidak dibantu kerajaan? Jangan tanya kepada parti ultra kiasu kerana mereka tidak pernah puas selagi kuasa tidak berada di tangan mereka sepenuhnya.


Mereka bercita-cita mahu menjadi perdana menteri atau timbalan perdana menteri. Pernahkah kita bertanya kepada orang Melayu Islam, sakitkah hati mereka melihat patung-patung yang begitu besar dan tinggi, yang terang-terang bercanggah dengan fitrah agamanya atau setiap kali lalu di tempat-tempat tersebut? Kita tidak pernah bertanya bukan? Kita hanya marah dalam hati kerana kita mahu menjaga hati orang lain dan hak bukan Islam.Pernahkah orang Islam melarang pembinaan patung sebesar itu dalam sebuah negara Islam yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi.


Kalau adapun sedikit sangat. Apakah hak bukan Islam dinafikan walaupun ketuanan Melayu dilaungkan?Apakah Lee Kuan Yew tidak menegakkan ketuanan Cina di Singapura? Terangkatkah ketuanan Melayu di negeri Melayu Singapura? Orang Melayu tidak mendapat tempat di sana berbanding orang India yang lebih sedikit bilangannya. Kalau dulu Yusuf Ishak boleh menjadi presiden, selepas beliau, nama Melayu sudah tidak muncul lagi. Bila orang Melayu yang mengkritik ketuanan Cina di Singapura, mereka akan dibuang jauh-jauh.



Pernahkah kerajaan hari ini membuang kumpulan ultra kiasu ke luar negara walaupun ia amat lantang mengkritik orang Melayu, Islam dan raja-raja Melayu? Saya fikir orang Melayu lebih mempercayai bukan Melayu daripada bukan Melayu mempercayai Melayu.Orang Melayu (Islam) tidak pernah campurtangan dalam urusan orang bukan Islam, tetapi kenapa dan mengatakan orang bukan Islam begitu kurang ajar mencampuri setiap perkara sesuatu yang berkaitan dengan agama Islam?


Fikirkanlah isu-isu seperti pemelukan agama Islam, murtad, kedudukan mahkamah syariah, kedudukan Islam dan keistimewaannya dalam perlembagaan dan sebagainya.Toleransi ini tidak pernah dihargai oleh kumpulan ultra kiasu ini. Tidak pernah puas dan bersyukur. Bila kita tanya toleransi tidak pernah berlaku di negara lain, kenapa tidak menghargai? Maka mereka menjawab, inilah keunikan yang perlu ditonjolkan di Malaysia.


Licik juga strategik dan taktik mereka, bila kena pada kita, mereka kata inilah keunikan Malaysia dan semangat 1Malaysia, tetapi bila kena pada mereka, maka jawapannya tidak adil, bukan Melayu dipinggirkan dan didiskriminasikan dan berbagai-bagai tohmahan lagi. Selain daripada kumpulan ultra kiasu ini, mungkin kita boleh melihat pakatan jahat mereka dengan majlis peguam dan persatuan-persatuan agama-agama bukan Islam.


Adalah amat tidak logik apabila melihat bilangan rumah ibadat orang bukan Islam yang hanya berjumlah 45 peratus, melebihi berkali ganda bilangan masjid dan surau di dalam sebuah negara Islam yang meletakkan Islam sebagai agama persekutuan, yang bilangannya melebihi 55 peratus.Puak ultra kiasu ini memang tidak pernah bersyukur. Taktik mereka menentang sekeras-kerasnya tanpa kompromi. Mereka tahu mereka tidak keseorangan. Sokongan ke atas mereka amat jitu dan padu. Kita jangan terlalu bersangka baik walaupun ia sifat yang amat mulia. Terlalu bersangka baiklah maka hari ini kepala kita bukan sahaja dipijak-pijak malahan, mereka sudah hampir sampai ke tahap untuk menguasai kita. Bayangkan jika benar-benar mereka berpakat dengan negara kecil yang begitu kuat di selatan Johor itu?


Saya mahu mengajak kita semua berfikir sebentar, apakah dengan laungan ketuanan Melayu itu, benar-benar Melayu dan Islam telah menjadi tuan? Apa yang saya tahu semakin kuat kita melaungkan ketuanan Melayu semakin banyak tanah rezab Melayu yang telah tergadai kepada bukan Melayu? Kedudukan bahasa Melayu dan agama Islam semakin terancam.Kadangkala ternyata-tanya pada diri sendiri, apakah dengan mendapat potongan lima peratus untuk membeli sebuah rumah dan kewujudan MARA sudah cukup melambangkan itulah hak istimewa orang Melayu? Jika itulah yang melambang ketuanan Melayu, alangkah hinanya kita.


Ketuanan Melayu yang sebenar adalah apa juga yang berkaitan dengan Melayu selaku bangsa majoriti termasuk bahasa, agama dan cara hidupnya akan mendominasi suasana negara ini. Tetapi adakah ini berlaku?Lihat saya kedudukan media cetak dan media elektronik di negara kita. Adakah bahasa Melayu yang mendominasinya? Jawapan mudah, tidak. Kalau ada pun media Melayu, ia hanya dibaca atau ditonton oleh Melayu sahaja. Saya tidak fikir ada orang bukan Melayu yang akan membaca dan menonton media Melayu. Kecuali kumpulan ultra kiasu. Itupun mereka hanya berminat untuk mengorek rahsia dan membaca psikologi orang Melayu. Jika tidak, mereka tidak akan ada hati juga untuk melihat dan membacanya.


Apakah dengan laungan ketuanan Melayu kemudahan orang Cina (India) untu berniaga semakin berkurang? Sekolah Cina atau Tamil semakin berkurang? Rumah ibadat orang Cina, India semakin berkurang? Hak-hak bukan Melayu semakin dinafikan? Tulisan jawi semakin berpengaruh? Wujudkah sekolah Melayu berbanding sekolah Cina dan India? Masih adakah ketuanan Melayu? Justeru, rugikah orang Cina, India jika UMNO terus melaungkan ketuanan Melayu atau hidup Melayu atau ia sekadar mahu mengingatkan orang Melayu supaya tidak mudah lupa diri di tanah air sendiri dan mara untuk terus berjuang.


Jika nama Tanah Melayu kekal tanpa di tukar kepada Malaysia, saya tidak nampak relevannya ketuanan melayu. Seperti mana nama negeri China dan India. Mereka tidak perlu sebut ketuanan China atau ketuanan India sebab nama negara mereka sudah mencerminkan ketuanan mereka. Maka tidak hairanlah orang Islam merempat hidupnya di bumi mereka. Masjid dirampas menjadi kuil. Apakah orang Islam hidup senang lenang di negara bukan Islam berbanding orang bukan Islam hidup dalam negara Islam seperti Malaysia.


Sedarkah puak-puak ultra kiasu?Saya cukup bimbang laungan ketuanan Melayu hanya tinggal sebagai laungan sahaja seperti mana nama-nama Melayu yang semakin hilang seperti Keretapi Tanah Melayu menjadi KTM. Perancangan yang sungguh licik. Kita asyik mengalah. Bila diugut, maka kita akan tunduk kepada desakan dan tuntutan mereka.Apa yang jelas sinergi ultra kiasu semakin mantap, manakala sinergi kita semakin merosot, yang tinggal hanya laungan dan slogan yang tidak dapat dipertahankan.


Gagasan 1Malaysia tidak lagi dilihat sebagai gagasan untuk memperkasa masa hadapan tetapi untuk menuntut apa yang belum dapat dan menambah apa yang telah dapat! Sampai bilakah kita mampu terus bertahan? Apakah sinergi orang Melayu (Islam) semakin pupus di bumi Melayu? Tidakkah kita perlu kembalikan semula sinergi yang semakin hilang?


Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia. Setiausaha Agong, Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Tulisan ini adalah pendapat peribadi beliau

Tuesday, December 1, 2009

IsuDAP: Pemuda BN Ketuai Bantahan Rakyat, Selar Putar Belit Kerajaan Pulau Pinang

Pulau Pinang -- Bosan dengan sikap kerajaan negeri terutama Ketua Menteri, Lim Guan Eng hampir 500 Pemuda Barisan Nasional (BN) bersama masyarakat pelbagai kaum di negeri itu hari ini berkumpul di depan bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang mengadakan bantahan.
Tindakan itu dilakukan berikutan kegagalan kerajaan negeri membela nasib rakyat serta pelbagai pembohongan yang dilakukan Ketua Menteri, Lim Guan Eng sepanjang hampir dua tahun menerajui negeri itu.
Pengerusi Pemuda BN Pulau Pinang, Norman Zahalan berkata tindakan tersebut yang disertai kesemua komponen BN termasuk penduduk pelbagai kaum di negeri itu dilakukan sebagai membantah pembohongan demi pembohongan dan sikap dolak dalih pentadbiran kerajaan negeri terhadap rakyat di negeri itu.
"Rakyat pilih mereka dengan harapan mereka membela nasib rakyat seperti mana yang mereka laungkan semasa pilihanraya umum lalu.
"Malangnya setelah hampir dua tahun memerintah mereka hanya bermain politik dan mengabaikan rakyat. Malah Ketua Menteri, Lim Guan Eng juga banyak melakukan pembohongan", katanya kepada laman webPemuda di sini, hari ini.
Jelas beliau lagi apa yang dilakukan hari ini sebagai membawa luahan suara rakyat pelbagai kaum yang ternyata tidak berpuas hati terhadap apa yang telah dilakukan kerajaan negeri terutama kes Kampung Buah Pala, pembohongan status tanah dan sikap tidak telus pentadbiran negeri.
Beliau yang mengetuai bantahan tersebut selepas itu turut membuat satu laporan polis dan aduan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung tindak tanduk kerajaan negeri khususnya Ketua Menteri, Lim Guan Eng.
"Kita yakin gelombang kemarahan rakyat ini akan menjadi lebih besar selepas ini kerana rakyat semakin sedar mereka telah ditipu dengan pelbagai janji manis parti pembangkang sebelum ini yang kononnya berjiwa rakyat", ujarnya.

Bantah Guan Eng tidak cekap selesaikan masalah penduduk

KOSMO
GEORGE TOWN – Walaupun hari pertama Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini semalam berjalan lancar tetapi berlaku kekecohan di pekarangan bangunan DUN Pulau Pinang.
Kira-kira 150 penyokong Pemuda Barisan Nasional (BN) negeri diketuai oleh Ketua Pemuda UMNO negeri, Norman Zahalan berhimpun secara aman bersama beberapa sepanduk yang mengecam corak pentadbiran ‘lemah’ kerajaan negeri itu.
Laungan ‘kerajaan Pulau Pinang penipu’, ‘cakap tak serupa bikin’ dan ‘Guan Eng balik Melaka’ turut kedengaran sehingga menyebabkan lalu lintas sesak hampir setengah jam.
Bantahan secara aman selama sejam yang bermula pada pukul 12.15 tengah hari itu turut disertai Ketua Pemuda MIC negeri, J. Dhinagaran dan Ketua Pemuda Gerakan negeri, Ong Toh Keong.
Mereka membantah kegagalan kerajaan negeri pimpinan Lim Guan Eng yang didakwa tidak cekap dan gagal bertindak bijak menyelesaikan masalah rakyat serta tidak menunaikan janji pilihan raya umum 2008 lalu.
Pada masa yang sama, sekumpulan penduduk Kampung Buah Pala yang hadir diketuai pengerusi penduduknya, M. Sugumaran menyerahkan memorandum kepada Guan Eng yang diterima petugas bangunan DUN Pulau Pinang.

Tuesday, November 17, 2009

TKM 1 Mansor Othman tidak berani jawab isu tanah Lot 408


GEORGETOWN - Meskipun didesak oleh pemimpin Barisan Nasional (BN) agar menyampaikan fakta sebenar berhubung isu status sebidang tanah milik kerajaan di Lot 408, Georgetown yang dikatakan sudah diserahkan kepada pihak tertentu pada Jun lalu, Kerajaan Negeri mengambil langkah untuk terus berdiam diri daripada menjawab segala dakwaan yang dikemukakan.

Terbaru, Timbalan Ketua Menteri I, Mansor Othman ketika dihubungi Sinar Harian, turut enggan memberikan sebarang komen dan mengulas lanjut mengenai isu itu, sebaliknya menyatakan alasan tidak mengetahui butiran sebenar mengenai perkara itu secara lebih mendalam.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) turut meminta pihak media agar menunggu kepulangan Ketua Menteri, Lim Guan Eng dari lawatan kerja ke luar negara baru-baru ini untuk mendapatkan penjelasan terus beliau berhubung isu ini. “Saya tidak mahu komen apa-apa berhubung isu ini sebab saya tidak ada butiran konkrit mengenainya. “Kita tunggulah kepulangan Ketua Menteri (Guan Eng) untuk mendapatkan penjelasan sebenar,” katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian.

Sebelum ini, beberapa media tempatan melaporkan Ketua Menteri digesa memberi penjelasan berhubung status pemilikan tanah Lot 408 bersebelahan Hotel Eastern & Oriental di Georgetown yang didakwa telah ditukar oleh Kerajaan Negeri. Ketua Pembangkang, Datuk Azhar Ibrahim berkata, sebagai orang nombor satu di Pulau Pinang, Guan Eng perlu tampil bercakap benar dan jujur selaras dengan prinsip cekap, akauntabiliti dan telus (CAT) yang kerap dilaungkan.

Menurutnya, semua wakil rakyat UMNO dan parti komponen BN negeri ingin mengetahui kedudukan sebenar isu tersebut.Sebuah akhbar berbahasa Inggeris tempatan pada 1 November lalu melaporkan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Muhammad Farid Saad mendakwa Guan Eng menipu apabila menyatakan tiada pertukaran syarat guna tanah berlaku antara April tahun lalu hingga Jun tahun ini.

Bagaimanapun, difahamkan, pentadbiran beliau telah meluluskan permohonan PDC Heritage Hotel Sdn Bhd untuk menukar jenis pegangan tanah di Lot 408, Georgetown daripada pegangan pajakan kepada pegangan kekal pada 3 Jun lalu.

Akhbar itu pada Khamis lalu juga melaporkan syarikat tersebut dengan kerjasama YTL Corporation Bhd akan membina kondominium mewah dan restoran makanan laut di atas tanah tersebut.

Monday, November 16, 2009

DUN Kota Siputeh diisytiharkan kosong



Kerusi DUN Kota Siputeh diisytiharkan kosong dan membuka laluan kepada pilihan raya kecil jika penyandangnya dari Umno, Datuk Abu Hassan Sarif gagal dalam rayuannya.
Keputusan tersebut dibuat oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur petang ini setelah mendengar permohonan Speaker DUN Kedah, Datuk Dr Abdul Isa Ismail untuk semakan kehakiman terhadap keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mengekalkan Abu Hassan sebagai ADUN di situ.
Abdul Isa memfailkan saman pada 1 Oktober lalu, menamakan Abu Hassan daripada BN dan SPR sebagai responden.Beliau memohon diisytiharkan Abu Hassan bukan lagi ADUN bagi kerusi tersebut berikutan kegagalannya menghadiri dua persidangan DUN secara berturut-turut dan injunksi menghalang beliau daripada menjalankan tugas sebagai wakil rakyat.
Beliau juga memohon mahkamah mengisytiharkan kerusi itu kosong dan memerintahkan SPR mengadakan pilihan raya kecil di samping memohon ganti rugi, kos dan faedah lain.
Pada 1 September lalu, SPR memutuskan tidak berlaku kekosongan di kerusi Kota Siputeh dan Abu Hassan masih menjadi wakil rakyatnya.Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan bertindak bagi pihak SPR.
DUN Kedah akan bersidang esok untuk meluluskan bajet kerajaan PAS negeri itu.
Abu Hassan boleh memfailkan rayuan. Permohonan lisannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman mahkamah itu tidak dibenarkan hari ini.
Bagaimanapun, mahkamah akan mendengar permohonan formalnya Jumaat ini.
Dalam pilihan raya umum lalu, Abu Hassan menewaskan calon PAS Ismail Wan Teh dengan majoriti kecil 495 undi.Abu Hassan mendapat 8,160 undi manakala Ismail mendapat 7,665 undi.

Tuesday, October 20, 2009

Isu Semasa Pemuda: Pemuda Mahu Hidupkan Semangat Kesukarelawan Dalam Parti

Kuala Lumpur -- Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin berkata pergerakan itu akan menghidupkan semangat kesukarelaan di kalangan ahli dalam memperkasakan UMNO.

Ini kerana katanya aspek perkhidmatan dan kesukarelaan merupakan satu nilai yang kini telah hilang dalam parti UMNO.

"Kita perlu hayati pesanan Presiden parti yang mahukan ahli memberi sumbangan kepada parti bukan apa yang kita bleh dapat dari parti.

"Saya dibesarkan dalam UMNO di zaman moden, zaman canggih yang ada bangunan besar, pejabat besar dan bagi saya dan Pemuda UMNO, mungkin lupa atau tidak tahu pengorbanan orang UMNO terdahulu.

"Maka kita tidak minta apa-apa kepada parti, malah kita hendak beri balik kepada parti kerana kita sayang UMNO," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi terhadap ucapan dasar Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO 2009 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Jelas beliau lagi ia merupakan cabaran kepada parti kerana selama ini ahli-ahli banyak meminta kepada UMNO.

Justeru tegasnya golongan profesional juga harus memberi sumbangan kepada UMNO termasuk membantu dalam pilihan raya atau sebagainya kerana apa yang telah diberi selama ini oleh UMNO, perlu dipulangkan.

Pada masa yang sama beliau juga mahu memastikan setiap bantuan yang diberikan mesti dipastikan sampai kepada mereka yang berhak dan layak menerimanya.

"Jangan lagi kita memberi bantuan kepada mereka yang tidak layak. Maksudnya ialah kaum Melayu sudah ada keupayaan dan kekuatan diri dan tidak mengambil bantuan yang diperlukan oleh orang lain," ujarnya.

Tuesday, September 29, 2009

Isa Samad calon BN di Bagan Pinang

Tan Sri Isa Samad diumumkan sebagai calon BN dalam pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang 11 Oktober depan.

Isa merupakan ketua Umno bahagian Teluk Kemang dan bekas naib presiden Umno.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kerusi DUN Bagan Pinang kosong ekoran kematian penyandangnya, Azman Mohamad Noor dari BN yang menang dengan majoriti 2,333 dalam pilihanraya umum Mac tahun lalu.

Azman yang juga naib ketua bahagian Teluk Kemang, menewaskan Ramli Ismail dari PAS yang mendapat 4,097 undi.

Isa digantung selama tiga tahun sejak 24 Jun 2005 kerana rasuah politik ketika pemilihan Umno 2004. Pada mulanya, dia digantung selama enam tahun atau dua penggal tetapi dikurangkan selepas beliau membuat rayuan.

Ekoran itu, mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat bahawa Isa tidak seharusnya menjadi calon BN dalam pilihanraya kecil tersebut.

Jika tidak, katanya, imej Umno akan terjejas kerana dianggap tidak serius dalam memerangi politik wang sekiranya masih meletakkan mereka yang sudah didapati bersalah dalam rasuah politik sebagai calon.

Isa, katanya, sudah didapati bersalah dan kalau Umno letak beliau sebagai calon, ia juga bermakna bahawa Umno tidak ambil berat tentang kes-kes semacam itu.

Dr Mahathir berkata, kalau pun Isa boleh menang tetapi Umno "kena fikir seluruh Malaysia fikir apa terhadap Umno".

Friday, September 25, 2009

KolumnisSemasa: DAP Sepak Punggung Pemimpin Pas Lagi

Pemimpin DAP telah menuduh pemimpin Pas dengan tuduhan yang pedas dan kurang ajar. Masaalahnya, pemimpin DAP yang menuduh pemimpin Pas masih 'budak hingusan', 'budak mentah' dan 'nobody' jika dibandingkan dengan pemimpin Pas tersebut.



Sekurang-kurangnya, pemimpin Pas tersebut telah lama di dalam politik dan organisasi parti Pas itu tapi cuba kita bayangkan seorang 'budak hingusan' DAP memperbodohkan seorang pemimpin Pas yang veteran.

Apakah reaksi kita?

Dan yang menimbulkan persoalannya ialah,

Apakah ahli-ahli parti Pas akan berdiam diri dan melihat sahaja pemimpin mereka diperkotak-katik dan dicoreng muka beliau oleh pemimpin 'langkah mayatku dulu' DAP?

Apakah penyokong-penyokong parti Pas masih tidak sedar bahawa DAP dan Pas ibarat air dan minyak yang tidak mungkin akan dapat berasional dan berkompromi di antara satu sama yang lain?

"Wakil rakyat Petaling Jaya Utara, Tony Pua juga menuduh exco kerajaan Selangor Datuk Dr Hasan Ali, juga pesuruhjaya Pas negeri, sebagai seorang yang "hipokrit" dan "mahu berlagak wira" kerana mengkritik Selcat secara terbuka.

Beliau, yang juga ketua publisiti DAP, berkata saranan Pas itu bukan sahaja bertentangan dengan asas kewujudan jawatankuasa khas DUN Selangor itu tetapi juga semangat kerajaan Pakatan Rakyat yang mengutamakan "kebertanggungjawaban dan ketelusan." - MalaysiaKini

Penulis tidak pasti tapi jika berdasarkan perhubungan politik di antara DAP dan Pas, ahli-ahli Pas dan pemimpin-pemimpin Pas tidak ada merasa apa-apa dan membiarkan sahaja pemimpin Pas yang lain diperbodoh dan dimalukan dengan sengaja oleh pemimpin-pemimpin DAP!

Penulis juga percaya bahawa web pro-Pas dan blog-blog pro-Pas tidak akan menyentuh langsung isu ' menjatuhkan maruah pemimpin parti Pas' itu di dalam berita dan laporan mereka.

Maksudnya, web dan blog-blog tersebut turut tidak kisah apabila pemimpin mereka dimalu dan diperbodohkan oleh pemimpin 'hingusan' DAP.

Tahniah parti Pas!!

Monday, September 21, 2009

SELAMAT HARI RAYA AIDUL FITRI


SALAM AIDUL FIRTI KAMI UCAPKAN DARI SELURUH WARGA PEMUDA UMNO BAYAN BARU...
SEMOGA DI HARI BAHAGIA INI PINTU KEMENANGAN AKAN BG KITA HENDAKNYA

Saturday, September 5, 2009

Isu Pas: Pemuda Cabar Nik Aziz Jadikan Islam Sebagai Dasar Pakatan Rakyat

Saya menganggap cadangan Nik Aziz agar parti itu membuka keahliannya kepada bukan Islam sebagai suatu cadangan yang baik, ia baik untuk perpaduan rakyat dinegara ini, namun Pakatan Rakyat perlu memperaktikkannya dan membuktikannya terlebih dahulu sebelum ia dicadangkan kepada BN.

YAB Datuk Nik Aziz menyebut biarlah Islam sebagai dasar atau tunjang perjuangan parti yang bakal dibentuk nanti.

Sebab itu kami mencabar Datuk Nik Aziz dan kepimpinan Pas melaksanakan Dasar Islam dikalangan Pakatan Rakyat terlebih dahulu, dengan merombak semua parti komponen PR- DAP, PKR dan PAS, jadikan ia satu parti dan letakkan dasar dan matlamat perjuangan Pakatan Rakyat ialah Islam.

Kalau lah Pas berjaya membentuk dan meletakkan Dasar Pakatan Rakyat ialah Islam, maka ia suatu yang baik dan harus dipuji.

Apa yang nyata sekarang, antara mereka tiga beradik pun mempunyai matlamat yang berlainan, tidur sekatil, tapi mimpi lain-lain. Buktikan dalam perlembagaan PKR, adakah terdapat pada mana-mana fasal tujuan dan matlamat PKR untuk Islam? Demikian juga DAP?

Oleh kerana kedua-dua parti tidak bermatlamatkan Islam, kenapa Pas bersekongkol dengan pihak yang tidak berjuang untuk Islam. Yang mana UMNO telah terbukti berjuang untuk Islam sejak Negara kita merdeka hingga kini, mengangkat martabat umat Islam, meningkatkan syiar dan mengembangkan Islam dalam Negara, sepatutnya Pas perlu memilih UMNO sebagai rakan kongsi untuk melaksanakan agenda Islam.

Pada asasnya hasrat Pas adalah baik. Cuma Pas perlu buktikan dulu ia terlaksana dalam Pakatan Rakyat. Jangan sampai rakyat melihat Pas hanya ibarat ketam yang mahu mengajar anaknya berjalan lurus, tapi mereka sendiri seperti “ayam jantan berkokok riang, ekor dan kaki berlumuran najis”.

Apa yang mengecewakan saya ialah, usaha untuk menjadikan dasar Malaysian Malaysia dilakukan tanpa henti oleh pihak pembangkang. Mereka begitu ghairah untuk memastikan tiada lagi keistimewaan yang dinikmati oleh bumiputera selama ini, termasuklah Hak Istimewa Melayu walaupun perkara tersebut dijamin oleh perlembagaan.

Kenapakah keistimewaan orang Melayu yang telah dinikmati oleh bangsa Melayu sejak 52 tahun yang lalu dituduh sebagai “Asabiyyah” dan “haram”?

Kenapa pembangkang menentang usaha untuk mengangkat martabat bangsa Melayu dan Islam yang diperjuangkan UMNO, bahkan memberikan berbagai gelaran dan tuduhan kepada UMNO.

Kami amat kecewa dengan sikap Pas yang sanggup menggadai Hak Istimewa Melayu demi kepentingan politik sempit mereka, bahkan mereka juga sangguh menodai pusaka tunggal peninggalan datuk nenek moyang kita yang amat berharga untuk orang Melayu.

Jika Nik Aziz merasakan bahawa hanya Pas yang berjuang untuk Islam, ia suatu fahaman yang teramat salah. Perkara ini telah berlaku dalam sejarah Islam, iaitu golongan Khawarij yang berpendirian seumpama ini.

Bahkan ia juga menampakkan sifat takabbur dan bongkak, dengan mendakwa hanya pihak mereka sahaja yang Islam, sedangkan pihak lain semua tidak Islam adalah tidak betul, kerana Islam ini agama Allah untuk sekalian manusia dan jin, samada yang masuk parti ataupun tidak.

Mana mungkin Nik Aziz boleh menganggap tidak menyokong Pas, sebagai menolak Islam.

Saya nak beritahu dia sekali lagi bahawa, UMNO pun berjuang untuk Islam sama seperti Pas juga, dan hasil perjuangan Islam UMNO telah terbukti sejak 52 tahun yang lalu.

Pembangkang perlu ingat bahawa Negara ini telah dipimpin dan ditadbir dengan aman, makmur dan berjaya selama 52 tahun BN memerintah.

Itu merupakan bukti bahawa acuan dan dasar BN telah mengangkat martabat rakyat Malaysia sebagaimana yang kita nikmati pada hari ini.

Monday, August 31, 2009

Inikah Erti Kemerdekaan

Hatta,
setelah terjajah selama 40 dekad
setelah maruah dicalit penjajah
setelah hasil bumi dikaut pergi
dan setelah segalanya terasa rugi
baru kalian bangkit bersemangat…

Maka,
kini kau telah merdeka
kini kau telah mengecapi nikmatnya
kini kau telah sedar
dan kini kau tahu siapa kawan
siapa lawan …

Namun, apalah ertinya merdeka
kalau kau tidak tahu mensyukurinya
apalah ertinya merdeka
kalau segalanya masih berkiblatkan penjajah
dan apalah ertinya merdeka
kalau kau masih tidak mahu berubah
tidak pun menjunjung kasih
jauh sekali mengenang budi.

Sesungguhnya,
biarpun masa berlalu pergi
masih ada esok untuk mencuba lagi
masih ada ruang untuk muhasabah diri
dan masih ada tempat untuk berdiri.

Pokoknya, tanyalah diri
apalah ertinya merdeka
kalau hidup asyik bertekak
kalau hidup asyik bertuding jari
dan kalau hidup bagai musafir
yang masih tidak tahu arah berpergian
yang masih dangkal dalam keilmuan

Ingatlah
tanpa ilmu hatta teknologi
mahupun jati diri
dan hanya tahu beretorik …
tidak mustahil kita bakal dijajah lagi.

Dan kalau begitulah jadinya…
Jangan dikesali lagi…
Kerana sudah banyak kali diingati,
dan Belajarlah daripada SEJARAH dan Nikmat Kemerdekaan.

Pertahankan keistimewaan perpaduan rakyat berbilang kaum

HARI ini semua rakyat Malaysia menyambut Hari Kemerdekaan negara kita yang ke-52. Tetapi suasana sambutan di seluruh negara tidak seperti biasa kerana ulang tahun kemerdekaan jatuh pada bulan puasa Ramadan. Sambutan di peringkat Pusat, dibuat sederhana di Dataran Parlimen.

Usia 52 tahun amat besar maknanya. Pelbagai peristiwa dan pengalaman pahit manis telah kita sama-sama harungi.

Apabila menonton iklan hari kemerdekaan di televisyen, ia membawa kenangan manis dan menyentuh jiwa semua lapisan masyarakat kita yang berbilang kaum.

Dalam suasana hubungan kaum yang kini diasak dengan tindakan provokasi dan tuduhan melampau demi kepentingan kaum masing-masing, elok kita sama-sama renung dan fikirkan apa akan kita lakukan selepas ini. Adakah semua kaum di negara ini mahu bercakaran dan musnahkan perpaduan yang telah dijalin sejak lebih 52 tahun itu?

Ada kebenaran dalam perutusan Hari Kemerdekaan Perdana Menteri bahawa membaik pulih jambatan sedia ada di samping meruntuhkan tembok-tembok pemisah yang wujud di antara rakyat pelbagai kaum adalah cabaran terbesar negara.

Jika kita buka minda dan fikirkan, kekeruhan hubungan antara kaum sebelum Mac 2008 tidaklah seburuk seperti sekarang. Semua kaum berbaik sangka dan tidak timbul tuduh-menuduh dan mencabar Perlembagaan negara. Hakikatnya perpaduan kaum yang diasaskan oleh pejuang-pejuang terdahulu kini diasak dan cuba digoncang pihak tertentu kerana mahu rebut kuasa.

Perpaduan kaum adalah tunjang kekuatan dan kemakmuran Malaysia. Jika tunjang ini ditetak-tetak selalu, akhirnya ia akan musnah.

Begitu juga dengan perpaduan kaum, jika tidak dipelihara, kesan kemusnahannya sukar untuk dipulihkan seperti dahulu.

Sebab itu berulang-ulang kali pemimpin negara mengingatkan kita supaya pertahankan perpaduan kaum. Datuk Seri Najib Tun Razak juga mengingat tentang sejarah dunia yang sarat dengan catatan bahawa kejayaan yang tidak diurus dengan baik akan berakhir dengan kegagalan.

Pada hakikatnya, kejayaan dan kemakmuran negara ini sepanjang 52 tahun merdeka adalah hasil sumbangan serta dokongan semua kaum, semua lapisan masyarakat.

Kita jangan lupa tentang keunikan yang kita miliki ini. Negara yang lebih dahulu merdeka daripada kita pun tidak mencapai kejayaan seperti yang kita nikmati sekarang. Sebab itu kita perlu berhati-hati dan berwaspada terhadap anasir-anasir yang sengaja dan berusaha untuk memecah-belahkan perpaduan masyarakat majmuk negara ini.

Kerana mereka tahu, formula perpaduan kaum inilah menjadi rahsia kekuatan dan kejayaan Malaysia. Mahu tidak mahu, hakikatnya baik Orang Asli, Melayu, Bumiputera Sabah dan Sarawak serta orang Cina, India dan kaum-kaum lain - inilah tanah air kita.

Adalah tanggungjawab kita semua untuk menentukan kemakmuran dan kestabilan Malaysia. Di bawah kepimpinan Perdana Menteri yang baru lima bulan memimpin negara ini, elok kita beri sokongan dan dokongan kepada Najib dalam pelaksanaan konsep 1Malaysia Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN YG KE 52


Seluruh Warga PEGERAKAN PEMUDA UMNO BAHAGIAN BAYAN BARU mengucapkan SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN YG KE 52,semoga kemerdekaan yg kta kecapi ini akan kekel buat selamanya,bahawasanya kemerdekaan ini membawa seribu erti......MERDEKA,MERDEKA,MERDEKA.....

Thursday, July 23, 2009

Selamat Hari Jadi Perdana Menteri


Kami dari warga PERGERAKAN PEMUDA UMNO BAHAGIAN BAYAN BARU mengucapkan SELAMAT HARI LAHIR kepada YAB Datuk Seri Najib bin Abdul Razak(Perdana Menteri Malaysia).........Rakyat didahulukan...Pencapaian diutamakan......1 MALAYSIA

Wednesday, July 8, 2009

Pusat digesa elak masuk 'jerat'

UTUSAN:
PULAU PINANG 7 Julai - Kerajaan Pusat perlu mengelak daripada terjebak dalam isu Kampung Buah Pala di sini kerana ia umpama menjerat diri.
Ketua Pemuda UMNO negeri, Norman Zahalan berkata, pihaknya bimbang sekiranya Kerajaan Pusat campur tangan ia akan dipersalahkan apabila timbul sebarang masalah pada kemudian hari.
Katanya, menuding jari dan menyalahkan pihak lain termasuk kerajaan negeri sebelum ini yang diterajui Barisan Nasional (BN) jika timbul sebarang masalah membabitkan rakyat adalah perbuatan yang sinonim dengan Ketua Menteri, Lim Guan Eng.
"Kita bimbang nanti kalau timbul sebarang masalah, kerajaan negeri akan menyalahkan kerajaan BN," katanya ketika dihubungi hari ini.
Norman juga berkata, BN sering menjadi sasaran kecaman pakatan pembangkang namun apabila buntu dalam menyelesaikan masalah rakyat mereka mencari BN.
"Dulu kata BN macam-macam, tapi akhirnya cari Kerajaan Pusat juga, nampak sangat macam tidak boleh berdikari, sepatutnya masalah tersebut diselesaikan oleh kerajaan negeri kerana perkara berkaitan tanah di bawah bidang kuasa mereka," katanya.
Menurutnya, sikap lepas tangan kerajaan negeri dalam menyelesaikan masalah Kampung Buah Pala amat mengecewakan rakyat yang menaruh harapan tinggi terhadap Guan Eng.
Ketua Menteri itu kini berdepan tuntutan 23 keluarga miskin di kampung berkenaan yang mahu kampung halaman mereka diselamatkan daripada projek pembangunan seperti dijanjikan para pemimpin tertinggi pakatan pembangkang ketika berkempen pada pilihan raya umum lalu.
Namun selepas berkuasa di negeri ini Guan Eng memberi alasan kerajaan negeri tidak berupaya berbuat demikian kerana kekangan kewangan sebaliknya meminta Kerajaan Pusat pula membeli semula tanah kampung berkenaan.

Tuesday, July 7, 2009

Pemuda UMNO P. Pinang bidas Guan Eng 'cuci tangan'

UTUSAN:
PULAU PINANG 6 Julai - Keputusan Ketua Menteri, Lim Guan Eng meminta bantuan Kerajaan Pusat bagi menangani masalah di Kampung Buah Pala di sini hanya bertujuan mengalihkan masalah kepada pihak yang tidak berkaitan.
Ketua Pemuda UMNO negeri, Norman Zahalan membidas tindakan Setiausaha Agung DAP itu sambil menyifatkan Guan Eng melarikan diri daripada masalah yang sepatutnya diselesaikan oleh kerajaan negeri.
"Rakyat sudah boleh lihat bagaimana kerajaan pakatan pembangkang ini menguruskan pentadbiran Pulau Pinang.
"Sememangnya mereka tidak mampu mentadbir dan tidak peka terhadap masalah rakyat," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Guan Eng memaklumkan, kerajaan negeri akan menulis surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi meminta bantuan Kerajaan Pusat untuk mengambil alih tanah di Kampung Buah Pala.
Guan Eng berkata, kerajaan negeri tidak mampu mengambil alih tanah di kampung itu daripada sebuah koperasi dan pemaju untuk membolehkan 23 keluarga terus tinggal di situ kerana kosnya terlalu tinggi.
Kata Norman, kelemahan kerajaan negeri kini terbongkar sekali gus mengecewakan rakyat yang telah memilih mereka untuk memimpin negeri.
"Masalah yang berlaku kepada penduduk itu sepatutnya diselesaikan di peringkat kerajaan negeri sendiri tanpa perlu meminta Kerajaan Pusat campur tangan.
"Kalau betul-betul mahu tolong penduduk di situ, banyak cara boleh dilakukan. Kalau tak silap saya, Guan Eng pun tidak turun padang," jelasnya.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO bahagian Seputeh Mohd. Razlan Mohammad Rafii pula berkata, kerajaan Pulau Pinang tidak boleh bersikap lepas tangan kerana ia merupakan isu dalaman mereka.
Katanya, jika Guan Eng benar-benar bertanggungjawab beliau perlu turun padang untuk mencari jalan penyelesaian kepada itu.
"Memindahkan beban ini kepada Kerajaan Pusat menunjukkan sikap kerajaan negeri yang
mahu lari daripada masalah," katanya.
"Mereka sepatutnya mencari jalan untuk mengatasinya," katanya.